[VIDEO] Geng samun bersenjata, polis mohon saksi tampil bantu siasatan di Klang


  • 112
  • Khamis, 07 Sep 2023

Tangkap layar kejadian samun berlaku di sebuah kediaman dekat Jalan Seruling, Klang Jaya, Klang, Selangor.

TIGA individu lelaki dirakam menjalankan kegiatan samun bersenjatakan parang di sebuah kediaman dekat Jalan Seruling, Klang Jaya, Klang, Selangor pada Selasa.

Susulan insiden tersebut, Polis Klang Selatan dalam satu kenyataan pada Khamis memohon orang ramai ataupun saksi kejadian tampil membantu siasatan.

"Mohon kerjasama individu yang melihat atau ternampak kes samun oleh tiga suspek bertopeng di sebuah kediaman pada pukul 9 malam di Jalan Seruling, Klang Jaya, Klang.

"Orang ramai yang melihat kejadian samun berparang itu diminta menghubungi talian Gerakan Klang Selatan atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Saiful Azni di talian 017-6635045 bagi membantu siasatan," kata kenyataan tersebut.

Rakaman berdurasi 43 saat itu memaparkan kelibat ketiga-tiga suspek bertopeng terbabit menceroboh masuk ke sebuah rumah dan mengasari seorang wanita dipercayai tuan rumah.

Dalam pada itu, jeritan seorang lelaki turut kedengaran dalam kejadian tersebut yang sekali gus meraih perhatian di laman media.

Setakat ini, masih belum ada sebarang tangkapan dilaporkan pihak polis berhubung kes berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram