[VIDEO] Muka terpinga-pinga lepas rempuh budak perempuan angkara tertekan pedal minyak ketika 'reverse'


  • Tular
  • Rabu, 06 Sep 2023

Tangkap layar seorang budak perempuan dirempuh sebuah kereta yang mengundur laju di ruangan parkir pasar raya dekat Puncak Alam pada Selasa.

SEORANG kanak-kanak perempuan dirempuh sebuah kereta ketika bermain di kaki lima sebuah pasar raya dekat Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor pada petang Selasa.

Dalam satu insiden yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu memaparkan kenderaan tersebut sedang cuba memasuki sebuah ruangan parkir di kawasan berkenaan.

Namun secara tiba-tiba, kereta jenis Hyundai Elantra terbabit kemudiannya terus bergerak laju dan sekali gus merempuh kanak-kanak itu hingga tersepit di dinding premis tersebut.

Tersentak dengan kejadian itu, orang ramai tampil memberikan bantuan dan cuba menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Seorang wanita berbaju kelabu dipercayai ibu mangsa dilihat berlari sambil menjerit pertolongan akibat cemas dengan perlanggaran tersebut sebelum si pemandu yang merupakan seorang lelaki, turut membantu orang ramai dalam kejadian itu.

Sementara itu, seorang wanita di bahagian penumpang bahagian belakang pula kemudiannya cuba mengalihkan kenderaan tersebut namun enjin kereta terbabit dipercayai mati dan gagal dihidupkan olehnya.

Dalam pada itu, berdasarkan komen di media sosial, kanak-kanak perempuan terbabit hanya mengalami cedera ringan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Budxkjxmpi mendakwa, keluarga mangsa juga telah bertemu si pemandu dan satu laporan polis sudah dibuat berhubung kemalangan terbabit.

Ketika disoal keadaan mangsa dan punca kejadian, individu terbabit menjelaskan bahawa si pemandu terlupa untuk menukar gear dan tertekan pedal minyak sebaik keluar dari kenderaan tersebut.

"Pemandu kata dia dah tarik brek tangan, tapi nak keluar kereta dia tak perasan gear masih dalam keadaan mengundur sebab dia parkir undur.

"Masa nak keluar dia tertekan pedal minyak dan gagal mengawal kelajuan, tetapi keluarga mangsa dah berdamai cara baik dan budak itu cuma luka sikit sahaja," katanya di ruangan komen.

Seorang wanita dipercayai ibu saudara kepada salah seorang kanak-kanak itu pula menjelaskan, tiada kecederaan parah berlaku dalam kejadian tersebut.

"Ini kedai abang saya dekat Puncak Alam, budak lelaki itu anak saudara saya dan budak perempuan itu kawan dia, tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Kanak-kanak perempuan itu dirawat di hospital sekarang, situasi dia tak tahu lagi tapi berdasarkan rakaman CCTV nampak dia selamat.

"Mangsa dah jalani pemeriksaan imbasan (CT Scan) dan semuanya selamat, cuma ada kesan lebam di kaki dan luka sebab terkena kaca pintu," ujar atykahsyazwanii.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, kemalangan berlaku ketika pemandu Hyundai Elantra terbabit ke lokasi kejadian untuk mengambil anaknya pulang dari tadika.

Beliau berkata, pemandu yang hendak mengundur kereta memasuki petak parkir telah tertekan pedal minyak secara mendadak.

"Akibat kejadian, kereta yang dipandu telah mengundur dalam keadaan laju lalu melanggar seorang kanak-kanak yang berada di kaki lima kawasan tersebut.

"Pemandu Hyundai Elantra juga turut merempuh pintu hadapan premis kedai tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Akibat kemalangan itu, mangsa berusia mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Puncak Alam untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa disahkan berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan keluar dari hospital pada 8.30 pagi tadi (Rabu),” ujarnya.

Mohd Ambia berkata, pemandu kereta berusia 30 tahun itu tidak ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram