SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu selepas mengaku bersalah membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Sultan Selangor serta gagal memberikan kata laluan di laman Facebook miliknya.
Hakim N. Priscilla Hemamalini turut memerintahkan Mohamad Azlan Ibrahim, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS) menjalani hukuman penjara itu bermula Rabu atau dipenjara tiga bulan jika OKS gagal membayar denda.
Mohamad Azlan, yang memakai jaket dan kopiah hitam dilihat membaca al-Quran semasa berada di galeri awam sebelum prosiding bermula.
Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Azlan didakwa membuat hantaran komunikasi jelik terhadap sultan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebooknya, menggunakan laman profil 'Iman Mustaqim' pada 28 Ogos lepas dan pautan itu kemudian dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Kuala Lumpur pada pukul 11.37 pagi, 29 Ogos.
Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Mohamad Azlan juga didakwa gagal memberi kata laluan laman profil aplikasi Facebook 'Iman Mustaqim' yang diminta oleh seorang pegawai polis di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 11.25 pagi, 31 Ogos lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 242 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Abdul Malik Ayob memohon hukuman pemenjaraan serta denda berat, mengambil kira kesalahan serius OKS yang menimbulkan kemarahan masyarakat serta mengganggu keharmonian negara.
"Tindakan OKS membuat hantaran jelik menghina Sultan Selangor telah mengundang kemarahan rakyat Malaysia dan kegagalan memberikan kata laluan Facebooknya seperti yang diminta oleh pegawai polis menunjukkan dia tidak mahu memberikan kerjasama terhadap pihak berkuasa.
"Dalam kes ini, sultan adalah simbol perpaduan negara dan tindakan OKS memperlekehkan kedaulatan raja-raja Melayu boleh menjejaskan kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara," katanya yang turut mengendalikan kes bersama TPR Nor Azizah Aling.
Mohamad Azlan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja dan menjaga ibu yang sakit di kampung serta perlu membawa bapa saudaranya yang buta ke hospital untuk mengambil ubat. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram