SATU pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki dilaporkan berlaku di sebuah restoran dekat Bandar Baru Klang, Selangor pada awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, beberapa pelanggan di restoran tersebut disahkan cedera dan telah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku selepas enam individu yang sedang menyambut hari jadi salah seorang rakan mereka, telah membuat bising di restoran tersebut.
Katanya, keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga menimbulkan suasana tegang dan cabar mencabar antara satu sama lain sebelum suspek kemudiannya memanggil kira-kira 20 orang rakannya.
"Akibat pergaduhan, beberapa pelanggan cedera dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
"Polis telah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu dan semakan mendapati ada antara mereka pernah ditangkap sebelum ini.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Polis masih mengesan beberapa saksi di tempat kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjejaki suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berdekatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram