Padah ceroboh Istana Negara, peniaga roti canai dihukum penjara sebulan, denda RM500


Seorang peniaga roti canai dijatuhi hukuman penjara dan denda RM500 kerana menceroboh masuk ke Istana Negara. — Bernama

SEORANG peniaga roti canai dipenjara sebulan dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur pada Khamis kerana memasuki kawasan Istana Negara tanpa kebenaran.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Amrin Amiruddin, 39, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 3 September lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua minggu jika gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa memasuki kawasan larangan tanpa kebenaran ke dalam Istana Negara yang merupakan harta milik Yang di-Pertuan Agong di Pintu 1, Istana Negara, Jalan Tunku Abdul Halim, Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 7.45 malam, 3 September lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 5 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 7 akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Ketika ditanya Nurul Izzah mengenai rayuan bagi mengurangkan hukuman, Amrin yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia tiada rayuan untuk dikemukakan kepada mahkamah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram