KEMALANGAN jalan raya boleh berlaku atas banyak faktor. Boleh jadi ia disebabkan masalah yang berpunca daripada infrastruktur jalan, mahupun kesilapan daripada pemandu itu sendiri.
Antara kesalahan yang berpunca daripada pemandu termasuklah terlelap ketika memandu. Situasi itu turut dipanggil microsleep, iaitu keadaan yang mana seseorang tertidur kurang dari satu hingga 30 saat tanpa disedari.
Microsleep ketika memandu sememangnya boleh membahayakan kerana ia bukan sahaja merisikokan pemandu, malah juga pengguna jalan raya yang lain.
Banyak kes kemalangan yang dilaporkan di dada akhbar berpunca daripada microsleep.
Antaranya, baru-baru ini berlaku satu kemalangan maut melibatkan kereta yang dipandu seorang wanita melanggar belakang lori kontena di Kilometer 249.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan berhampiran susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.
Nahas itu berlaku sekitar pukul 7.45 pagi pada Sabtu dan dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam), sebelum ia tular di laman sosial pada Ahad.
Difahamkan, kenderaan dipandu wanita berusia 30 tahun itu disyaki hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori kontena jenis Volvo dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun.
Selain itu, pada 2019, pernah dilaporkan insiden kemalangan maut yang meragut nyawa Pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, dikatakan ada kaitan dengan microsleep.
Ia ekoran pemandu, iaitu suaminya Ahmad Shah Rizal Ibrahim, akui mengantuk ketika memandu dari kediamannya di Tumpat menuju ke Pattani, Thailand.
Justeru, kita tidak boleh memandang rendah impak microsleep terhadap kehidupan seharian terutama bagi mereka yang berada di atas jalan raya.
Laman web perkhidmatan perbandingan insurans, BJAK sebelum ini, ia turut memuat naik info berkenaan definisi dan tip bagi mengelakkan seseorang itu terlelap ketika memandu.
Menurutnya, microsleep merujuk kepada satu episod tidur singkat (sekejap) yang tidak dapat dikawal.
Ia terjadi tanpa sebarang amaran dan kerap berlaku apabila individu tersebut cuba melawan rasa mengantuk dan kekal berjaga.
Microsleep tidak bermakna mata akan tertutup rapat seperti sedang tidur, ia juga boleh berlaku ketika mata sedang terbuka.
Ia sangat bahaya terutamanya untuk mereka yang sedang memandu kerana berisiko untuk menyebabkan kemalangan yang serius sehingga meragut nyawa.
Secara umumnya, punca utama microsleep adalah disebabkan kekurangan tidur sehingga menimbulkan rasa mengantuk yang melampau, selain perjalanan yang membosankan.
Berikut Majoriti senaraikan antara tujuh tip yang boleh diaplikasikan oleh pengguna jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku:
1) Dapatkan tidur yang nyenyak dan cukup
Antara cara untuk mengelakkan microsleep ketika memandu adalah pemandu perlu mendapatkan tidur yang nyenyak dan cukup sebelum memulakan perjalanan terutamanya yang jauh.
Pemandu perlu mendapatkan tidur yang secukupnya iaitu sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam. Elakkan juga aktiviti melepak, menonton filem atau sebagainya sebelum tiba hari perjalanan.
Anda juga dinasihatkan untuk tidak mengambil minuman berkafein atau alkohol kerana ia mampu mengganggu tidur dan menyebabkan anda terjaga pada waktu malam.
2) Jangan ambil ubat yang boleh menyebabkan mengantuk
Anda perlu mengelakkan diri daripada mengambil ubat yang boleh menyebabkan ngantuk ketika memandu.
Selain itu, pemandu perlu mengelakkan diri daripada mengambil ubat yang boleh menyebabkan rasa ngantuk ketika memandu, sebelum memulakan pemanduan.
Jika ubat itu perlu juga diambil, pastikan anda tidak memandu berseorangan dan cari teman yang mempunyai lesen dan boleh memandu untuk menggantikan anda ketika dalam perjalanan.
3) Jangan memandu berseorangan
Jika anda seorang yang mudah bosan dan letih apabila memandu jauh, adalah digalakkan untuk membawa seseorang bagi menemani anda sepanjang perjalanan.
Jadikan teman itu sebagai rakan berborak agar tidak bosan, sunyi dan seterusnya dan menyebabkan diri rasa mengantuk.
4) Pasang lagu
Jika tiada teman untuk berborak ketika dalam perjalanan, anda boleh memasang lagu-lagu kegemaran bagi memastikan diri terus segar untuk memandu.
Namun begitu, jangan pasang terlalu kuat lagu di dalam kereta anda kerana ia boleh menyebabkan fokus pemanduan anda terganggu.
5) Rehat di R&R
Antara langkah pencegahan microsleep yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.
Jika anda mendapati diri anda sudah mulai berasa letih dan mengantuk, cari kawasan rehat & rawat (R&R) atau mana-mana stesen minyak terdekat untuk berehat. Tidur seketika jika perlu bagi menyegarkan semula diri anda.
6) Minum kopi
Minum minuman berkafein seperti kopi mampu membantu seseorang berasa segar.
Mendapatkan minuman berkafein seperti kopi mampu membantu seseorang berasa segar dan bertenaga ketika memandu.
Namun, anda dinasihatkan untuk tidak mengambilnya secara berlebihan kerana ia mungkin boleh menyebabkan rasa mual, pening dan sebagainya.
7) Buka tingkap
Sekiranya anda memandu terlalu, adalah lebih baik jika anda menurunkan tingkap dan menghirup udara luar bagi menyegarkan diri anda buat seketika.
Tip-tip di atas boleh digunakan untuk menyegarkan diri anda sepanjang perjalanan yang jauh. Ingat, nyawa anda amat bermakna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram