'Microsleep' disyaki punca motor rempuh BMW sampai budak jatuh terlentang di Sri Petaling


  • 112
  • Khamis, 19 Jan 2023

Seorang kanak-kanak terjatuh selepas motosikal ditunggang lelaki dipercayai ayahnya terbabas dalam kemalangan berhampiran Endah Parade, Sri Petaling pada Rabu.

TANDA tanya punca sebenar seorang kanak-kanak perempuan terjatuh selepas motosikal yang ditunggang seorang individu dipercayai bapanya terbabas dalam kejadian berhampiran Endah Parade, Sri Petaling di ibu negara masih belum terjawab.

Ini kerana, penunggang motosikal terbabit bersama pemandu BMW difahamkan belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketika ini, polis Kuala Lumpur meminta kedua-dua individu terbabit tampil bagi membantu siasatan.

Berdasarkan keterangan saksi kejadian, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang mengalami 'microsleep' ketika membawa kanak-kanak itu.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan kemalangan berlaku melibatkan sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki bersama seorang kanak-kanak dan sebuah kereta jenis BMW sejak Rabu malam.

Malah, dalam rakaman juga dilihat kanak-kanak tersebut yang tidak memakai helmet terjatuh ke jalan raya dan hampir digilis kereta terbabit.

Mangsa kemudian dilihat cuba bangun sebelum diselamatkan beberapa pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan penunggang motosikal dan kanak-kanak terbabit hanya cedera ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

"Polis Kuala Lumpur dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua individu yang menyalurkan maklumat bagi tindakan mengesan mangsa berkenaan.

"Penunggang motosikal dan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan ringan dan dirawat di HUKM," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram