PERJALANAN pulang ke kampung bagi berhari raya merupakan sesuatu yang sangat dinanti-nantikan setiap keluarga apabila tibanya musim perayaan.
Namun begitu, perjalanan dengan jarak jauh dan mengambil masa masa lama pastinya sering kali memenatkan terutamanya buat mereka yang menjadi pemandu.
Dalam keadaan tersebut, ia akan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya, di tambah dengan situasi jumlah kenderaan yang semakin bertambah khususnya ketika musim perayaan kali ini.
Pengendali lebuh raya utama negara, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan akan menggunakan laluan di bawah perkhidmatannya pada hari-hari puncak bermula 20 April ini, sempena sambutan Aidilfitri.
Sementara itu, untuk perjalanan ke Pantai Timur pula, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad menjangkakan lebih tiga juta kenderaan menggunakan lebuh raya berkenaan untuk tempoh yang sama.
Antara gejala kepenatan yang sering dihadapi pemandu adalah apabila mereka berhadapan dengan situasi mengantuk ketika memandu atau lebih dikenali dengan istilah microsleep.
Microsleep merujuk kepada tempoh tidur yang sangat singkat berlaku dalam tempoh hanya beberapa saat.
Gejala tersebut merupakan antara penyumbang kepada kemalangan jalan raya di dalam negara dengan terdapat kes turut membawa kepada kematian.
Statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PRDM) melaporkan terdapat 1,305 kematian direkodkan disebabkan pemandu tertidur semasa memandu antara 2011 dan 2021.
PLUS menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan akan menggunakan laluan di bawah perkhidmatannya pada hari-hari puncak bermula 20 April ini, sempena sambutan Aidilfitri.
Disebabkan itu, adalah sangat penting untuk bukan sahaja pemandu, tetapi penumpang untuk lebih peka terhadap gejala tersebut.
Ketahui tiga simptom microsleep
Pensyarah Fakulti Perubatan Sains Kesihatan UPM, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, microsleep berlaku apabila seseorang itu kekurangan berada dalam keadaan kekurangan rehat ketika memandu.
Katanya, terdapat tiga simptom utama menunjukkan seseorang pemandu itu sudah mula berpotensi untuk mengalami microsleep.
Katanya, ketiga-tiga petanda itu boleh dikenal pasti oleh pemandu itu sendiri atau juga penumpang lain khususnya yang berada di bahagian kerusi hadapan sebelah pemandu.
Tanda pertama menurut beliau adalah apabila pemandu berhadapan dengan situasi blackout ketika memandu.
"Katakan saya nak gerak dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Jadi tentunya sebagai orang yang dah biasa guna lebuh raya sama, dia ingat dia perlu keluar di susur keluar dekat Bentong, Pahang.
"Tapi semasa memandu, tiba-tiba dia terlupa susur keluar mana yang dia perlu keluar. Jadi itu salah satu petanda kemungkinan pemandu itu dah mula mengantuk," katanya kepada Majoriti.
Kemudiannya, Kulanthayan berkata, tanda kedua yang boleh dikenal pasti adalah apabila seseorang pemandu itu secara tidak sengaja terlepas untuk keluar di simpang atau susur keluar yang sepatutnya.
"Bila itu berlaku, ia bermaksud pemandu dah tidak dapat beri tumpuan sepenuhnya dekat pemanduan.
"Petanda ketiga pula adalah apabila seseorang pemandu itu gagal untuk kekalkan kenderaan di lorongnya ketika memandu. Bila bawa kereta itu dia mula pesong ke kanan atau ke kiri. Bila jadi macam itu, ia dah kira bahaya," ujarnya.
Kulanthayan berkata, sekirannya terdapat mana-mana petanda itu dikesan terhadap pemandu, mereka disarankan untuk segera berhenti di kawasan rehat terdekat.
Katanya, ketika berhenti, kesemua pemandu dan penumpang juga dinasihatkan untuk keluar daripada kereta bagi berjalan atau mendapatkan pengudaraan dari luar.
"Sebab terlalu lama duduk dalam satu tempat, duduk badan tak bergerak dan aktif. Dalam situasi itu, kita juga sebenarnya dapat pengudaraan dan kitaran oksigen yang sama.
Kulanthayan berkata, sekirannya terdapat mana-mana petanda itu dikesan terhadap pemandu, mereka disarankan untuk segera berhenti di kawasan rehat terdekat. — Gambar hiasan
"Jadi bila kita keluar kenderaan, kita dapat pengudaraan luar. Kemudian bila jalan pula, pergerakan oksigen dalam badan jadi lebih baik," ujarnya.
Kulanthayan berkata, sekiranya pemandu masih berasa mengantuk walaupun selepas sudah meregangkan badan dan mengambil udara luar, mereka dinasihatkan untuk tidur sebentar.
"Kalau masih mengantuk juga, dia kena dapatkan tidur sebentar (nap) yang berkualiti lebih kurang 20 minit," ujarnya yang juga Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Selangor.
Dalam pada itu, Kulanthayan berkata, bagi yang bakal memandu bagi perjalanan jauh, mereka dinasihatkan untuk mendapat tidur yang mencukupi beberapa hari sebelum memulakan perjalanan.
"Kena pastikan cukup tidur bagi beberapa hari sebelum perjalanan, bukan hanya sehari sebelum. Sebab kalau dua tiga hari sebelum itu kita tidak cukup tidur, badan kita akan ada hutang waktu tidur.
"Jadi kalau kita hanya cukup tidur sehari sebelum perjalanan sahaja, hutang tidur dua tiga hari sebelumnya masih ada lagi. Jadi badan kita akan tetap rasa letih nanti apabila memandu," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram