Persiap taring hadapi kempen AFC, mesin gol TFC kembali menuntut di kelab lama


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Jordan Mintah belum mencapai sasaran peminat selaku bekas penjaring terbanyak di saingan Liga Perdana 2021.

PERSEMBAHAN kurang konsisten dipamerkan skuad Terengganu FC (TFC) pada saingan Liga Super musim ini mengundang rasa cemas dalam kalangan peminat pasukan itu.

Apatah lagi skuad Peteh bakal beraksi di pentas antarabangsa melalui kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023/2024.

Berada di kedudukan keenam carta liga, skuad Penyu ketika ini dipisahkan lima mata dengan pasukan Sri Pahang FC (40) yang sekali gus menutup peluang anak-anak buah Tomislav Steinbrukner untuk berada di kelompok lima teratas.

Situasi itu pastinya turut dirasai peledak utamanya, Jordan Mintah yang digelar sebagai 'mesin gol' bagi sebilangan penyokong setia pasukan tersebut.

Meskipun tampil cemerlang dalam lima aksi terdahulu di saingan Liga Malaysia (Liga M), penyerang kelahiran Ghana itu belum lagi mencapai sasaran peminat apabila hanya mencatatkan lima gol setakat ini.

Bertitik tolak daripada itu, kelibat Jordan Mintah baru-baru ini dilihat berada di sesi latihan bersama bekas pasukannya, Kaya FC.

Situasi itu dipercayai bertujuan bagi memperbaiki serta menajamkan lagi tindakan penyudahnya ketika berada di depan pintu gol.

kadh

Jordan Mintah memuat naik perkongsian di laman Instagram peribadinya ketika menjalani latihan bersama Kaya FC. — Instagram

Untuk rekod, Mintah sebelum ini merupakan bekas penyerang yang beraksi di kelab saingan Liga Filipina tersebut dan pernah memegang takhta penjaring terbanyak dengan 31 gol pada 2019.

Penghijrahannya ke pasukan TFCII pada tahun berikutnya menyaksikan pemain itu mengekalkan rentak cemerlangnya apabila memenangi gelaran kasut emas dengan 16 gol di saingan Liga Perdana musim 2021.

Mengambil keputusan untuk menimba pengalaman bersama bekas pasukannya di Kaya FC, ia diharapkan mampu mengembalikan semula sentuhan 'emas' dimilikinya satu ketika dahulu.

Kaya FC bakal membuat penampilan pada Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2023/2024 dengan tumpuan pemerhati bola sepak tanah air pastinya tertumpu ke arah Johor Darul Takzim (JDT) yang bakal membuat kemunculan di peringkat kumpulan ACL buat tahun keempat berturut-turut sejak edisi 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram