LIMA individu dilaporkan maut dalam satu tragedi lif runtuh yang berlaku di Bali, Indonesia pada Jumaat.
Kejadian yang difahamkan berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari itu terjadi selepas tali pada keluli lif tersebut terputus dan menyebabkan ia bergerak laju ke bawah.
Situasi itu sekali gus mengakibatkan lima individu di dalam lif tersebut terhempas ke tanah dan mengalami kecederaan parah ketika kejadian.
Kelima-lima mangsa berusia antara 19 hingga 24 tahun iaitu Sang Putu Bayu Adi Krisna (19), Ni Luh Supernigsih (20), I Wayan Aries Setiawan (23), Kadek Hardiyanti (24), dan Kadek Yanti Pradewi (19).
Ketua Polis Made Uder berkata, Kadek Hardiyanti dan Sang Putu Bayu Adi Krisna meninggal dunia di tempat kejadian.
"Tiga lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Payangan, Gianyar, Bali namun nyawa mereka gagal diselamatkan dan disahkan meninggal selepas menerima rawatan," katanya.
Dalam pada itu, saksi kejadian, I Ketut Suwiarta menjelaskan dia pada mulanya terlihat akan kelima-lima mangsa tersebut menaiki lif itu bersama-sama.
Namun, dia terdengar suara teriakan cukup kuat sebelum bunyi dentuman kuat kedengaran tidak lama selepas itu dan kesemua mereka dilihat terbaring di permukaan tanah.
Hasil siasatan dijalankan pihak polis, rel lif yang panjangnya kira-kira 60 meter berada dalam keadaan condong dengan sudut pada 35 darjah.
Ketua Polis Ubud, Komisaris Polisi I Made Uder berkata, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung punca sebenar kerosakan lif tersebut dan memastikan piawaian keselamatan yang sesuai telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan resort.
"Tiub lif remuk dan pecah, pagar keselamatan yang diperbuat daripada kayu musnah dan lantai tembok keselamatan juga turut hancur," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram