Tergelincir ketika pasang paip, lelaki maut jatuh gaung sedalam 20 meter di Genting Highlands


  • 112
  • Selasa, 23 Mei 2023

Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang dipercayai tergelincir ke dalam gaung dekat Genting Highlands pada Selasa. — Bomba

SEORANG lelaki maut dipercayai akibat tergelincir sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 20 meter di KM 1, jalan naik ke Genting Highlands, Bentong, Pahang pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands, Mohd Saufi Zakaria berkata, lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikatakan sedang melakukan pemantauan di lereng bukit bagi kerja-kerja pemasangan paip sebelum tergelincir.

Beliau berkata, lapan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada pukul 2.53 petang.

"Bomba menjumpai lelaki itu sekitar 3.30 petang sebelum menjalankan operasi menaikan mayat itu menggunakan tali dan alat pengusung yang mengambil masa lebih sejam," katanya.

Katanya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai sepenuhnya pada pukul 5 petang. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram