[VIDEO] Pemandu cuai tak sempat kejar bas terjunam dalam gaung, seorang penumpang maut


  • Benua
  • Isnin, 08 Mei 2023

Video tular kemalangan itu memaparkan bas tersebut secara tiba-tiba bergerak sebelum jatuh ke dalam jurang curam di sisi kiri jalan berkenaan.

TINDAKAN pemandu bas meninggalkan tempat duduknya ketika sedang memanaskan enjin dipercayai menjadi punca menyebabkan sebuah bas secara tiba-tiba bergerak sendiri sehingga terjatuh ke dalam gaung.

Insiden kemalangan meragut satu nyawa di Guci, Slawi, Jawa Tengah, Indonesia pada Ahad itu tular di sosial media.

Dalam rakaman berdurasi 19 saat itu, bas berwarna merah berkenaan dilihat bergerak meluncur turun dan kehilangan kendali hingga akhirnya masuk terjatuh ke jurang curam yang berada di sisi kiri jalan tersebut.

WhatsApp Image 2023-05-08 at 9.11.05 AM (1)

Orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut dilihat segera memberikan bantuan bagi mengeluarkan mangsa terperangkap dalam bas berkenaan.

Menurut maklumat diperolehi, penumpang bas itu terdiri daripada rombongan pelawat yang berasal dari Tangerang Selatan, Banten, Indonesia.

Selain merekodkan kematian seorang mangsa, beberapa indvidu lain yang berada di dalam bas ketika kejadian dilaporkan turut mengalami kecederaan.

Dalam video tersebut, orang ramai yang berada di kawasan sekitar dilihat turut berusaha menyelamatkan sejumlah besar mangsa untuk naik ke atas, keluar dari bas itu yang berada di sungai di bawah jurang berkenaan.

Mengikut laporan Regional Liputan6.com, insiden itu dipercayai berlaku ketika pemandu bas berkenaan mula memanaskan enjin kenderaan terbabit di parkir disediakan.

Kemudiannya, pemandu itu difahamkan meninggalkan bas tersebut dalam keadaan enjin yang masih hidup sebelum kenderaan tersebut tiba-tiba bergerak dan jatuh ke sungai yang berada di bawah jurang di sebelah kawasan berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

benua, kemalangan maut, bas, Indonesia, tular