SATU kemalangan dilaporkan berlaku di Lebuhraya Bahau-Kerayong, dekat Bandar 15 Melati, Rompin, Pahang pada Sabtu membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam dua meter.
Susulan kejadian, seorang kanak-kanak lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam insiden tersebut.
Mangsa, Muhammad Raziq Ramli berusia 11 tahun beralamat di Felda Kerayong 6, Muadzam Shah, Rompin, Pahang.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.20 pagi.
Susulan itu, katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Berdasarkan laporan Komander Operasi, benar terdapat sebuah kereta Perodua Myvi terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam dua meter.
"Terdapat empat orang mangsa, dua lelaki dewasa dan dua kanak-kanak lelaki. Namun, salah seorangnya meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya lagi, keadaan mangsa tidak tersepit dan pasukan Bomba menaikan mangsa menggunakan pengusung sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram