[VIDEO] Video tular ratusan pendatang asing minta kerakyatan di Kepong diulang siar


  • Primer
  • Selasa, 05 Sep 2023

Tangkap layar memaparkan video mendakwa kononnya berduyun-duyun pendatang China hadir ke Dewan Serbaguna di Kepong, Kuala Lumpur untuk memohon kerakyatan Malaysia daripada DAP.

VIDEO tular di media sosial kononnya ratusan pendatang China memohon kerakyatan negara ini adalah video pada 2018 yang diulang siar.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya juga sebelum ini pernah menafikan dakwaan tersebut.

"JPN juga ketika itu telah mengeluarkan kenyataan rasmi, menafikan perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman di media sosial mendakwa berduyun-duyun pendatang China hadir ke Dewan Serbaguna di Kepong, Kuala Lumpur kononnya untuk memohon kerakyatan Malaysia daripada DAP.

Menurut kenyataan sama, JPN melaksanakan urus tadbir pengurusan kewarganegaraan di Malaysia dengan berlunaskan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, ia juga selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa, bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.

"Orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima, bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram