'Tiada maruah', kata-kata azimat Khairy Jamaluddin 8 tahun lepas bantah program naturalisasi


  • Podium
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Khairy Jamaluddin mahukan bola sepak negara dibarisi pemain yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. — Stadium Astro

LAMBAKAN pemain berstatus naturalisasi dalam skuad kebangsaan hari ini terus menjadi topik perbualan hangat dengan ada yang menyokong sementara ada yang terus menentang.

Sejak program itu dimulakan pada 2018, beberapa pasukan negara terus mengambil peluang itu dengan memberikan pemain yang sudah bermastautin melebihi lima tahun di negara untuk dinaturalisasikan.

Antara yang diberikan status itu setakat ini ialah kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero dan tonggak tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue.

Kedua-dua pemain tersebut sudahpun diberikan minit permainan dalam jersi Harimau Malaya dengan masing-masing mempunyai sumbangan yang cukup penting.

Meskipun ada yang tidak memberikan impak sejak diberikan kerakyatan, pandangan orang ramai mengatakan kehadiran mereka sebagai punca utama pasukan negara terus mempamerkan aksi cemerlang beberapa tahun kebelakangan ini.

WhatsApp Image 2023-08-04 at 15.03.58

Sumareh merupakan pemain naturalisasi pertama negara. Agensi

Bagaimanapun, masih terdapat sebilangan yang tidak sebulu dengan pendirian itu apabila mereka melihat lambakan pemain naturalisasi hanya akan menutup pintu buat anak jati negara.

Pandangan tersebut disandarkan kepada hujah bahawa kesebelasan utama terakhir skuad kebangsaan menyaksikan hanya lima daripada mereka dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia.

Statistik itu pastinya cukup menggusarkan memandangkan kebergantungan ketua jurulatih, Kim Pan-gon terhadap anak jati akan semakin menipis saban tahun.

Jadi, tidak hairanlah bantahan terhadap program naturalisasi terbabit terus memenuhi ruangan komen media sosial dengan ia sudah disaksikan sejak dahulu lagi.

355232001_966589951080908_2259692623522901520_n

Skuad negara semakin meletakkan tinggi terhadap pemain naturalisasi. Facebook/FAM

Antara yang turut lantang memberi pandangannya mengenai perkara tersebut ialah bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Selain menolak program itu secara terang-terangan, dia turut menyifatkan penggunaan mereka bagi memperkuatkan skuad negara adalah satu perkara yang tidak bermaruah.

Pendirian tersebut dikongsikannya ketika dia masih lagi terlibat aktif dalam Kementerian Belia dan Sukan, atau lebih tepat pada 3 Ogos 2015.

Jelasnya lagi, pendekatan terbaik untuk memperbaiki prestasi pasukan kebangsaan adalah dengan membangunkan bakat-bakat muda menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Tetapi, selepas lapan tahun kenyataan itu dibuat, landskap sukan ternama tersebut dalam negara sudah berubah apabila program naturalisasi semakin giat dijalankan sementara pelan pembangunan sudah semakin menyepi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram