[VIDEO] Ajal 3 sekawan di Kota Tinggi, macam mimpi kali ini ikut ibu pergi mengejut menghadap Ilahi


  • Massa
  • Ahad, 03 Sep 2023

Nurina Izzati dan Nurul Afrahrina masing-masing maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Leburaya Senai-Desaru, Kota Tinggipada Sabtu. — Facebook

PEMERGIAN dua remaja yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, Johor pada Sabtu bukan sahaja ditangisi oleh ahli keluarganya, tetapi juga individu yang pernah mendidik kedua-dua Allahyarham.

Seorang bekas guru kepada dua mangsa yang maut iaitu Nurina Izzati Kamarul Azman dan Nurul Afrahrina Sazli berkata, dia seakan-akan masih tidak percaya dengan berita yang diterimanya itu.

Malah menerusi perkongsian di Facebooknya, wanita yang dikenali sebagai Zaihasra Ali itu turut berkongsikan mengenai sifat menyenangkan yang dimilki oleh kedua-dua anak muridnya itu.

"Dua orang bekas anak muridku meninggal. Bekas calon SPM 2021. Mimpikah aku? Al-fatihah anakanda yang baik budi bahasa, terpaling rajin kedua-duanya dalam kelas BM (Bahasa Melayu). Cikgu sayang kamu berdua sampai akhir hayat.

"Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan para solihin," tulisnya yang difahamkan mengajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkar Pulai, Johor Bahru, Johor.

Nurina Izzati, 19 dan Nurul Afrahrina, 19 yang masing-masing berasal dari Taman Pulai Indah, Johor Bahru, Johor maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada Sabtu.

370562540_712193744255959_7905586522662861873_n

Nurul Afrahrina difahamkan baru sahaja kehilangan ibunya baru-baru ini. — Facebook/KolejPoly-TechMARABatuPahat

Turut maut adalah seorang lagi rakan mereka yang turut menaiki kereta sama iaitu Iqbal Faiz Mat Sah, 20, yang juga pemandu manakala seorang lagi penumpang kenderaan sama iaitu Izznur Harith, 19, mengalami cedera parah.

Keempat-empat mangsa yang merupakan pelajar Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat, Johor itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat selepas mengikuti perkhemahan sempena cuti sambutan kemerdekaan di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, Johor.

Dalam pada itu, menerusi ruangan komen pada hantaran Zaihasra Ali, seorang wanita dipercayai merupakan pensyarah kepada mangsa terlibat turut berkongsikan kesedihannya mengenai kejadian tersebut.

Malah, wanita yang menggunakan nama akaun Facebook, Cik Anna turut menyatakan bahawa salah seorang mangsa yang juga menteenya di pusat pengajian berkenaan iaitu Afrahrina baru sahaja kehilangan ibunya.

"Student puan ya. Sekarang mereka student saya. Nurul Afrahrina tu pula mentee saya. Macam bermimpi mereka dah tiada. Ibunya baru sahaja pergi," tulis Cik Anna.

"Allahyarhamah Nurul Afrahrina tu baru kehilangan ibu nya secara mengejut 2 bulan lepas, sekarang dia menyusul ikut ibunya," ujar seorang lagi pengguna Facebook, Nur Hanisa Mohd yang mendakwa mengenali ibu kepada Allahyarhamah Nurul Afrahrina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram