Remaja 15 tahun mangsa nahas 5 kenderaan ditidurkan di ICU Hospital Segamat


  • Massa
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Abdullah dan abangnya (berdiri belakang) terselamat daripada kemalangan yang mengorbankan ibu, ayah serta adik-beradik mereka. — Facebook

REMAJA lelaki yang terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan enam ahli keluarganya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, pada Jummat, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Segamat, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon turut menafikan laporan sebuah akhbar yang mangsa, Abdullah Amir Ruddin, 15, telah meninggal dunia, pada petang Sabtu.

Beliau berkata mangsa berkenaan masih berada dalam rawatan, namun dia kini ditidurkan.

"Anak remaja ini masih lagi di ICU Hospital Segamat. Mangsa mengalami kecederaan yang teruk dan ditidurkan.

"Dalam masa yang sama, saya pohon supaya tidak menyebarkan apa-apa maklumat yang belum dikenal pasti atau gambar mengenai kes atau mangsa tersebut kerana ia akan menyedihkan keluarga mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Terdahulu, kemalangan berkenaan telah mengorbankan bapa dan ibu mangsa iaitu Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43.

Turut maut empat lagi adik-beradik mangsa, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram