[VIDEO] Tiga remaja maut, 4 cedera nahas 3 kereta di Lebuhraya Senai-Desaru


  • 112
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Tangkap layar kemalangan maut dalam kemalangan babit tiga kereta di KM50.1, Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi pada Sabtu.

TIGA remaja maut dalam kemalangan babit tiga kereta di KM50.1, Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, Johor pada Sabtu.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Izwani Abd Hamid memaklumkan sebaik pasukannya tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati terdapat tiga kenderaan iaitu Toyota Innova, Perodua Bezza dan Volkswagen.

Difahamkan empat lagi mangsa dilaporkan cedera.

Mangsa maut dikenali sebagai Iqbal Faiz Mat Sah, 20, Nurul Afrahrina Sazli, 19, dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19.

Manakala seorang lagi penumpang kenderaan sama Izznur Harith, 19, mengalami cedera parah.

Izwani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada pukul 1.43 petang Jumaat.

"Seramai 14 anggota dari BBP Penawar dan BBP Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi usaha menyelamat dalam kemalangan yang melibatkan sembilan orang mangsa itu.

“Kemalangan itu melibatkan tiga buah kereta iaitu Perodua Bezza, Toyota Innova dan Volkswagen.

"Tiga mangsa di dalam kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa berusia 19 tahun cedera ringan.

"Selain itu, empat mangsa berusia 11 hingga 51 tahun dalam Toyota Innova mengalami cedera ringan, manakala pemandu Volkswagen berusia 50 tahun, dilaporkan selamat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kesemua mangsa cedera telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan manakala mangsa meninggal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada pukul 3.50 petang.

Melalui maklumat awal yang diterima daripada orang awam, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki yang juga pemandu sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza tersepit di bahagian hadapan kereta berkenaan.

Video kemalangan berdurasi 20 saat itu turut tular di laman media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram