[VIDEO] Ketahui kisah di sebalik Ambalat, 'harta karun' rebutan Malaysia-Indonesia


  • Massa
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Isu perebutan Ambalat dikatakan tidak akan dibawa ke ICJ setelah Indonesia kalah dalam perbicaraan kes pulau Ligitan dan Sipadan. — Agensi

BARU-BARU ini kecoh di media sana sini melaporkan tentang Ambalat, namun tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan Ambalat?

Umum sedia maklum, pertikaian maritim utama antara Indonesia dan Malaysia yang berlaku di Laut Sulawesi telah berlanjutan sekian lama.

Mungkin selama ini rakyat Malaysia lebih didedahkan dengan isu perebutan melibatkan dua pulau di Laut Sulawesi iaitu Pulau Ligitan dan Sipadan yang berlangsung sejak 1969.

Perkara itu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan kedua-dua pihak mengemukakan bukti bagi menguatkan hujah masing-masing.

Bagaimanapun, berdasarkan bukti yang dikemukakan, mahkamah itu pada tahun 2002 memutuskan bahawa kawasan-kawasan tersebut adalah hak milik Malaysia.

Selain dua pulau tersebut, Ambalat juga sebenarnya telah lama menjadi wilayah pertikaian antara dua negara yang bertetangga, Indonesia dan Malaysia.

Ambalat merupakan sebuah blok lautan di Laut Sulawesi dengan keluasan kira-kira 15,235 kilometer persegi.

Ambalat merupakan sebuah blok lautan di Laut Sulawesi dengan keluasan kira-kira 15,235 kilometer persegi. — Agensi

Berdasarkan laporan, pemilikannya menjadi pertikaian antara Malaysia dan Indonesia sejak awal 2005 susulan perselisihan peta yang digunakan.

Indonesia menggunakan peta Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE), meskipun telah keluar Dekrit 2002 (tentang Sipadan-Ligitan) dengan berdasarkan penghakiman antarabangsa, yang menggunakan sempadan sehingga 12 batu nautika iaitu Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS) yang diakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sedangkan Malaysia menggunakan peta rasmi 1979 yang dikeluarkan oleh Malaysia sendiri, namun peta berkenaan tidak mendapat persetujuan negara-negara jiran kerana didakwa bertindih dengan banyak wilayah.

Berbeza dengan Pulau Ligitan dan Sipadan, isu Ambalat dikatakan tidak akan dibawa ke ICJ susulan kekalahan Indonesia dalam perbicaraan kes pulau Ligitan dan Sipadan.

Apatah lagi, berdasarkan ZEE, Ambalat merupakan hak milik Indonesia, sebagai negara kepulauan sejak dahulu kala.

Apa istimewanya Ambalat?

Blok lautan yang terletak di Selat Makassar itu mempunyai potensi luar biasa untuk kekayaan laut, terutamanya minyak mentah dan gas asli.

Difahamkan, satu daripada sembilan titik perlombongan di Ambalat mempunyai potensi simpanan 764 juta tong minyak dan 1.4 trilion kaki padu gas.

Kandungan minyak dan gas di kawasan berkenaan dikatakan boleh disimpan dan digunakan sehingga 30 tahun akan datang.

Jelaslah, mana-mana negara yang berjaya menguasai blok lautan itu memiliki kelebihan dan manfaat yang sangat besar untuk menjana ekonomi dari segi hasil minyak.

Sebagai rekod, perebutan kawasan itu juga pernah mencetuskan ketegangan melibatkan kedua-dua negara.

Antaranya, pada 21 Februari 2005, dilaporkan seramai 17 warga Indonesia ditangkap oleh kapal perang Malaysia, KD Sri Malaka, di Karang Unarang, Kalimantan, Indonesia yang dianggap masih sebahagian dari kawasan Ambalat.

Selain itu, pada 8 April 2005 juga pernah berlakunya pertembungan antara kapal perang milik Indonesia dan Kapal Diraja Rencong milik Malaysia tetapi ketegangan itu berakhir secara aman.

Dakwaan Malaysia serahkan sempadan Ambalat kepada Indonesia

Pada 8 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar dan Presiden Indonesia, Joko Widodo menandatangani beberapa perjanjian termasuk mengenai persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia.

Difahamkan, perjanjian itu hanya melibatkan laut wilayah dan tidak membabitkan kawasan Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai ZEE.

Bagaimanapun, tindakan tersebut nyata membangkitkan persoalan dalam kalangan banyak pihak.

Antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Sabah, Assaffal Alian ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 10 Ogos lalu tampil mendakwa kerajaan telah menyerahkan Blok Ambalat kepada Indonesia menerusi perjanjian tersebut.

Beliau mendakwa, kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak kerajaan Sabah dengan menyerahkan sempadan Ambalat kepada negara jiran itu.

Selain Assaffal, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendakwa Anwar tetap menandatangani perjanjian itu walaupun pakar maritim menasihatkan perdana menteri supaya tidak melakukannya.

Malah media Indonesia juga memanipulasi isu tersebut dan mendakwa dalam laporan mereka bahawa Malaysia telah menyerahkan kawasan itu kepada Jakarta.

Good neighbours: Anwar (left) and Jokowi during their Jan 9 meeting at which Malaysia and Indonesia's border issues were discussed. -- Reuters

Anwar (kiri) dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (kanan) memeterai perjanjian persempadanan maritim melibatkan kedua-dua negara.

Namun, Perdana Menteri menegaskan, perjanjian persempadanan maritim yang dimeterai dengan Indonesia tidak melibatkan kawasan dipertikai oleh kedua-dua negara.

Ujarnya, sebelum menandatangani perjanjian itu, beliau berbincang dengan pakar dari Maritim Malaysia, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Pusat Hidrografi Nasional.

Malah, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mengesahkan, perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia dikenali sebagai Triti Laut Sulawesi, yang ditandatangani pemimpin kedua-dua negara tidak membabitkan Blok Ambalat.

Ini kerana rundingan berkaitan sempadan melibatkan kawasan itu mengambil masa lebih lama kerana perlu dilakukan secara berhati-hati.

Untuk rekod, pada masa kini kedua-dua negara sedang mengadakan perbincangan peringkat tertinggi bagi menyelesaikan isu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram