KEJAYAAN Sarjan Saidatul Husna Kamarudin yang mencipta rekod lompatan merentasi 66 buah motosikal Royal Enfield pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, Putrajaya pada Khamis nyata satu perkara yang membanggakan.
Lebih mengujakan, lompatan pertama kali di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu disempurnakan pada hari lahirnya yang ke-35.
Persembahan anak jati Kedah itu meraih tepukan gemuruh bukan sahaja daripada ribuan pengunjung yang hadir malah, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga cukup teruja menyaksikan detik tersebut.
Namun, di sebalik kejayaan dikecapinya, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut berkongsi era kejatuhannya apabila pernah menjalani pembedahan lutut kiri pada 2012.
Saidatul Husna Kamarudin ketika melakukan persembahan pada Hari Kebangsaan di Putrajaya pada Khamis. — Agensi
Berkongsi kisahnya dengan Majoriti, Saidatul Husna menganggap ia sebagai salah satu pengajaran berguna buatnya sepanjang menceburi bidang pemotoran.
"Saya pernah mengalami kecederaan patah lutut kiri dan terpaksa menjalani pembedahan pada 2012.
"Ketika itu jika tidak silap, saya sedang melakukan satu sesi ujian latihan bersama kelab pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat, Army Red Warrior dan berlaku satu insiden yang menyebabkan saya terjatuh.
"Akibatnya, saya terpaksa berehat selama dua tahun dan berhenti daripada melakukan sebarang aktiviti pemotoran lasak.
"Selepas mula mendapat kebenaran daripada doktor pakar, saya kembali meneruskan cabaran dan ia boleh disifatkan sebagai pengajaran berguna dan pencetus kebangkitan buat diri saya," katanya kepada Majoriti.
Antara aksi pernah dipersembahkan pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat, Army Red Warrior. — Bernama
Ketika ditanya apakah sasaran peribadi dan pencapaian tertinggi yang ingin digenggam pada masa akan datang, dia dengan tenang menjawab dirinya tidak pernah menetapkan sebarang sasaran ataupun catatan rekod sepanjang menceburi bidang tersebut.
Menganggap ia sebagai satu sukan dan aktiviti lasak yang diminati, tujuan asalnya hanyalah untuk menghiburkan hati penonton.
"Keutamaan saya adalah untuk menghiburkan semua orang dan sesiapa yang menonton pertunjukan saya, langsung tidak pernah meletakkan sasaran rekod dunia ataupun penghargaan sama sekali.
"Apa yang pasti, setiap cabaran ataupun arahan daripada pihak atasan akan saya laksanakan sebaik mungkin dan kalau ada diberikan penghargaan itu adalah satu bonus buat saya.
"Yang penting persiapan mental dan fizikal perlu dipersiapkan dengan ciri keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Turut memberikan dorongan serta galakan bagi kaum wanita yang mahu menceburi bidang itu, Saidatul Husna berkata, minat merupakan perkara paling utama dalam hal tersebut.
"Apa-apa pun kita kena ada minat, kalau tak ada kemahuan yang kuat susah nak terus kekal dalam tempoh masa lama, tak kira lelaki ataupun perempuan, perlu ada semangat dan nekad dengan diri sendiri untuk capai sejauh mana yang dimahukan.
"Tak semestinya perempuan yang lasak sahaja boleh sertai aktiviti ini, saya pun bukan ganas mana cuma apa yang menjadi dorongan adalah keinginan kita sendiri," jelasnya.
Untuk rekod, Saidatul Husna sebelum ini pernah mencipta rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) yang dicatatkan di Malaysia Books of Record (MBOR) pada persembahan TATU Tentera Darat (TDM) bersempena Hari Tentera Darat ke-90 di Port Dickson, Negeri Sembilan, Mac lepas.
Lompatan ekstrem bermotosikal oleh Saidatul Husna merupakan antara persembahan menarik Army Red Warrior sempena Hari Kebangsaan 2023 selain aksi akrobatik motosikal melibatkan motosikal 'carrier' menerusi aksi penunggang membawa motosikal menaiki tangga setinggi lapan kaki (2.43 meter) formasi bunga rafflesia, tugu negara dan merak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram