Pembaca berita Nightline TV3 Raymond Goh kritikal, Ras Adiba mohon doa kesembuhan sahabat


  • Massa
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Tangkap layar pemberita berpengalaman Raymond Goh ketika bertugas di slot Nightline terbitan TV3.

PENYAMPAI berita berpengalaman, Raymond Goh atau nama Islamnya Mohd. Zaman Goh dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar.

Pemberita bersuara 'emas' yang tampil di slot Nightline terbitan TV3 itu kini difahamkan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.

Perkara itu dikongsikan bekas personaliti televisyen, Datuk Ras Adiba Radzi di Instagramnya pada Rabu yang meminta agar orang ramai mendoakan kesembuhan sahabatnya itu.

"Saya mohon kawan-kawan semua untuk titipkan doa buat sahabat saya, pembaca berita Nightline TV3 iaitu Mohd. Zaman Goh atau Raymond Goh.

"Mohd. Zaman (Raymond) sedang kritikal di ICU kerana mengalami serangan angin ahmar," ujarnya dalam satu hantaran.

Pada masa sama, Ras Adiba berkongsi pengalamannya menjadi penyampai berita bersama-sama Goh suatu ketika dahulu.

"Saya adalah pembaca berita generasi pertama bersama Raymond Goh serta pembaca-pembaca lain dan apa yang boleh saya kongsikan, dunia penyampaian berita pada ketika itu sangat berbeza.

"Beliau seangkatan dengan saya sejak awal penubuhan TV3. Kami berganding bahu menyampaikan berita '7 o'clock news' dan kemudian Nightline.

"Moga ALLAH mengampun, merahmati dan mempermudahkan segalanya buat sahabat saya ini. Terima kasih kerana sudi mendoakan sahabat saya, Mohd. Zaman Goh atau Raymond Goh. Al-Fatihah," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram