TINDAKAN sekumpulan lelaki di Madhya Pradesh, India mengganggu dan melakukan penderaan terhadap seekor harimau bintang yang sakit mengundang kecaman ramai.
Dalam satu video tular di laman media, memaparkan perbuatan individu terbabit yang dirakam sengaja mempersendakan haiwan terbabit.
Menurut laporan agensi, Jabatan Perhutanan bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan haiwan tersebut susulan aduan orang ramai.
Difahamkan, penduduk di kawasan itu pertama kali melihat harimau bintang sakit berkenaan berkeliaran di hutan berhampiran Kampung Iklera, daerah Dewas, India.
Ketika bertemu dengan haiwan itu, mereka pada mulanya berasa takut namun sebaik menyedari harimau itu tidak bertindak agresif, kesemua mereka mula mengambil gambar malah ada yang cuba untuk menunggangnya.
Beberapa lelaki dirakam cuba menunggang harimau bintang itu sebelum pasukan penyelamat tiba dan membawanya ke lokasi lebih selamat.
Menurut pegawai jabatan perhutanan, Santosh Shukla, pasukannya membawa harimau bintang berusia dua tahun itu ke Van Vihar di Bhopal, India untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh.
Haiwan itu dibawa ke sebuah zoo di bandar Indore, 80 kilometer dari kampung Iklera tempat ia ditemui.
Menurut pegawai jabatan perhutanan, harimau bintang itu menghidap masalah kesihatan otak dan berada dalam keadaan kritikal.
"Ia menghidap sawan setiap kira-kira 20 minit dan keadaan kesihatannya amat membimbangkan," kata veterinar di Zoo Kamla Nehru, Indore, Dr Utaam Yadav. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram