[VIDEO] Bengang potongan rambut anak dicas RM56, ibu tengking, malukan pekerja salun depan khalayak


  • Benua
  • Khamis, 31 Ogos 2023

Tangkap layar perbalahan tercetus antara seorang wanita dan pekerja premis salun rambut di Bukit Timah, Singapura.

SEORANG wanita bertindak mengasari pekerja sebuah salun rambut di Bukit Timah, Singapura selepas didakwa sengaja mengenakan bayaran mahal pada anaknya.

Dalam satu insiden yang berlaku pada Ahad lalu, memaparkan perbuatan individu wanita terbabit yang menengking dan memarahi salah seorang pekerja di premis berkenaan.

Difahamkan, Salun QQ House itu telah mengenakan bayaran yang berbeza daripada apa yang diiklankan.

Menurutnya, anaknya telah dikenakan bayaran sebanyak $12 dolar Singapura (RM56) berbanding harga sebenar iaitu $10 dolar Singapura (RM46).

Bengang dengan situasi itu, wanita terbabit kemudiannya menuntut penjelasan daripada pemilik premis tersebut yang sekali gus mengundang kekecohan ketika kejadian.

Namun, Salun QQ House menerusi kenyataannya di Facebook menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.

"Seorang budak lelaki telah mengunjungi salun kami di Coronation Plaza, Bukit Timah, Singapura kira-kira pukul 3.45 petang.

"Memandangkan rambutnya agak panjang, kami telah menjelaskan kepadanya bahawa kos potongan akan menelan belanja sebanyak $12 dolar Singapura dan dia bersetuju dengannya.

"Bagaimanapun, sejam kemudian, ibu budak lelaki tersebut tampil ke kedai dan meninggikan suara ke arah pekerja.

"Si ibu juga turut mendakwa kami menipu dan berkata rambut anaknya masih belum dipotong dengan sempurna," ujar kenyataan tersebut.

Susulan itu, premis berkenaan kemudiannya menuruti kemahuan wanita terbabit dan memotong rambut anaknya tanpa mengenakan sebarang cas tambahan.

Pihak QQ House walau bagaimanapun mengakui kesalahan mereka dan akan menambah baik maklumat pada senarai harga yang dipaparkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram