MENETAP jauh di negara orang bukanlah alasan untuk rakyat Malaysia membuang terus rasa cinta dan semangat patriotisme dalam jiwa mereka.
Begitu jugalah yang dirasai Siti Nur Fadhilah Zulkaply, 31, yang kini menetap di Finland selama hampir dua tahun bagi menemani suaminya, lelaki kelahiran Korea Selatan, Kim Jeyoung atau nama Islamnya, Muhammad Aiman Hakim yang bertugas di sebuah universiti tempatan.
Walaupun berada jauh beribu batu dari tanah tumpahnya darahnya, selain perlu menjalani kehidupan harian di bumi asing, Malaysia tidak pernah jauh dari hati ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Dia juga dikenali antara pempengaruh yang gemar melancong, malah dirinya juga aktif mengendalikan perniagaan pakej pelancongan kepada mereka yang mahu menggunakan khidmatnya.
Tidak mahu anak kesayangan, Naeun Ayra berasa janggal dengan budaya Malaysia, Siti Nur Fadhilah atau juga dikenali sebagai Fadhi sudah mula mengajar anaknya adab dan budaya Melayu sedikit demi sedikit.
Meskipun kanak-kanak itu baru sahaja menginjak usia tiga tahun, bagi Fadhi, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Justeru sebagai permulaan, dua perkara utama yang ditekankan dalam rutin harian Ayra ketika ini ialah bahasa dan makanan.
"Sejak dari kecil saya memang akan bercakap dengan anak dalam bahasa Melayu, manakala suami akan bertutur dalam bahasa Korea dan bahasa Inggeris dengan Ayra.
"Manakala daycare di sini pula bercakap (dalam) bahasa Swedish. Jadi anak saya sekarang sedang belajar dalam empat bahasa.
"Saya juga ajar Ayra menyanyi lagu raya dan lagu kanak-kanak seperti Lompat si Katak Lompat dan Bangun Pagi Gosok Gigi supaya dia mudah tangkap bahasa itu," ujarnya.
Selain itu, Fadhi juga gemar menyediakan hidangan Melayu bagi membiasakan anak perempuannya dengan 'tekak' Malaysia, selain mengekalkan adab orang Melayu ketika menjamu selera.
"Saya juga sering masak masakan Melayu di rumah, jadi dia dah biasa makan menggunakan tangan, boleh duduk bersila sambil makan.
"Lagipun (dia dah biasa makan) nasi goreng dengan telur kicap, kari, rendang. Boleh saja dia makan semua itu," katanya yang sering berkongsi kehidupan sehariannya menerusi Instagram @snfad_diela.
Naeun Ayra sudah mula diberi pendedahan untuk belajar empat jenis bahasa pada usia tiga tahun. — Instagram/snfad_diela
Bercerita mengenai kemerdekaan, kebiasaannya dia hanya akan menonton sambutan hari kebangsaan di Malaysia menerusi klip video yang dikongsikan di laman sosial.
Disebabkan kawasan perumahannya di Finland terletak agak jauh, iaitu sekitar empat jam dari bandar utama, jadi agak sukar untuk dia meraikan kemeriahan sambutan itu bersama kebanyakan rakyat Malaysia yang menetap di sana.
Justeru pada tahun ini, wanita berasal dari Klang, Selangor itu berhasrat untuk memasak pulut kuning dengan rendang ayam dan pengat pisang untuk dinikmati bersama jirannya yang berasal dari Sarawak.
"Kalau dekat bandar utama memang ada piknik, maraton dan sebagainya untuk sambut merdeka dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di sini. Saya pula duduk agak jauh, empat jam dari situ.
"Jadi saya rancang nak buat pulut kuning dengan rendang sahaja," katanya.
Walaupun berada jauh beribu batu dari tanah tumpahnya darahnya, Malaysia tidak pernah jauh dari hati Fadhi. — Instagram/snfad_diela
Dalam pada itu, menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 ini, dia turut meluahkan rasa syukur atas segala kemakmuran yang dikecapi Malaysia.
"Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk. Dengan kepelbagaian kaum dan etnik inilah wujudnya pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam.
"Bagi saya, kita lebih meraikan kepelbagaian, inilah salah satu keistimewaan Malaysia yang tidak ada pada negara lain," luah Fadhi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram