PEMPENGARUH terkenal dari seberang, Raffi Ahmad yang mempunyai lebih 70 juta pengikut di Instagram menyatakan dia sudah tidak sabar untuk bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Instastorynya pada Isnin, Raffi memberitahu bahawa dia dijangka mengadakan pertemuan dengan Anwar di ibu kota Indonesia pada 5 September depan.
"Saya sudah tidak sabar untuk bertemu dengan bapak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Jakarta. Sihat selalu pak perdana menteri, sampai berjumpa Insya-Allah pada 5 September 2023," katanya.
Bagaimanapun, perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan warga maya.
Masakan tidak, ramai yang masih tertanya-tanya tujuan sebenar pertemuan antara pempengaruh Indonesia itu dengan Perdana Menteri Malaysia.
Tangkap layar Instastory Raffi Ahmad pada Isnin.
Untuk rekod, Anwar dijangka berkunjung ke Jakarta pada 5 September depan.
Sebelum itu, ayuh kita kenali siapa sosok di sebalik pemilik nama Raffi Ahmad.
Kenali siapa Raffi Ahmad?
Raffi Bersama isterinya Nagita Slavina, Raffi membina saluran YouTube dikenali sebagai Rans Entertainment.
Jika di Indonesia, nama Raffi Ahmad mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi.
Jejaka kelahiran Bandung itu mula membina nama sebagai seorang pelakon, pengacara, pelawak dan penyanyi sejak umur 13 tahun.
Bagaimanapun, jejaka yang menjengah usia 36 tahun itu sebenarnya pernah menjadi topik bualan hangat dan menjadi pujaan para gadis Malaysia susulan beberapa sinetronnya pernah ditayangkan di siaran televisyen tempatan sekitar tahun 2006.
Antara drama yang pernah dimainkannya termasuk Olivia (2006), Andai Ku Tahu (2007), Baim Anak Soleh (2009) dan Buku Harian Baim (2009).
Di Indonesia, nama Raffi ketika ini sememangnya dikenali sebagai selebriti yang pendapatan tertinggi.
Ini kerana selain bergelar artis dan ahli perniagaan, anak sulung daripada tiga beradik itu kini mampu berbangga dengan pencapaiannya sebagai pempengaruh atau influencer berjaya, selain mampu menjana pendapatan tinggi hasil daripada platform digital itu.
Bersama isterinya Nagita Slavina, Raffi membina saluran YouTube dikenali sebagai Rans Entertainment.
Melalui saluran tersebut, pasangan itu aktif menghasilkan kandungan video yang kreatif dan menghiburkan netizen.
Melalui sumbangan daripada berjuta-juta penonton yang menonton setiap videonya, Rans Entertainment mampu memberi pulangan wang yang tinggi untuk mereka.
Konten-kontennya turut mendapat perhatian antarabangsa apabila dia dan Nagita pernah terbang ke Korea Selatan untuk menerima penghargaan dari World Cultural Industry Forum (WCIF), sebagai influencer yang paling top di ASEAN.
Di wilayah Asia Tenggara, Raffi pernah dinobatkan sebagai influencer dengan jumlah pengikut terbanyak iaitu seramai 60 juta lebih pengikut.
Malah, dia pernah menjadi pempengaruh nombor satu di Asia sebelum dipintas oleh kumpulan muzik BTS dan Blackpink.
Koleksi barangan mewah
Raffi memiliki sehingga empat buah model Alphard, sama ada untuk kegunaan sendiri atau digunapakai oleh saudaranya.
Sama seperti individu berada lain, hobi mengumpul koleksi kenderaan mewah seolah-olah sudah menjadi satu kemestian.
Sebagai contoh, Model MPV premium menjadi antara kereta yang 'wajib' dibuat koleksi oleh mana-mana golongan kayangan atas faktor keselesaan yang dimiliki.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu memiliki sehingga empat buah model Alphard, sama ada untuk kegunaan sendiri atau pun digunapakai oleh saudaranya.
Bagi kegunaan sendiri, dia turut memiliki varian Lombardi yang menampilkan ciri yang lebih mewah, lengkap dengan TVc 4k bersaiz 40 inci dan juga tempat duduk kapten.
Bagi melambangkan gelaran Sultan yang diberikan oleh masyarakat kepadanya, Raffi turut memiliki beberapa model Rolls-Royce. Sebelum ini dia pernah memiliki Rolls-Royce Ghost dan juga model Phantom.
Raffi dikhabarkan memiliki kira-kira lapan hingga 11 unit kediaman mewah di Green Andara Residence, Indonesia, termasuk sebuah unit yang dijadikan sebagai studio atau pejabatnya.
Dia juga telah membeli kelab bola sepak Cilegon FC pada tahun 2021 dan menukarkan nama kepada RANS Nusantara FC (Raffi Ahmad Nagita Slavina) yang mana kelab tersebut kini beraksi dalam Liga 1 Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram