Ryan lebih selesa berkarya di kampung, Sofyank titip nasihat buat content creator baharu


Ryan ketika menerima trofi Popular Creator of the Year semasa Anugerah TikTok Malaysia 2023 pada Ahad. — Instagram/RyanFahmiBakery

BAGI Ryan Bakery, idea untuk menghasilkan karya tidak memerlukan kepada tempat yang gah mahupun mahal.

Malah, pempengaruh sosial media itu yang baru dinobatkan sebagai Popular Creator of the Year pada Anugerah TikTok Malaysia 2023 dia lebih selesa mencipta kandungan ketika berada di kampung.

Ryan atau nama sebenarnya, Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, perkara itu mula disedarinya selepas dia banyak diperlukan berada di Lembah Klang untuk memenuhi tawaran kerja.

"Saya pernah cuba duduk sebulan dekat sini, sebab kerja banyak area sini. Tapi yang tak best saya tak boleh nak create idea, idea tu tak boleh nak datang.

"Mungkin sebab persekitaran tu vibe dia tak sampai. Tapi bila balik kampung saya tenang dan ada sahaja benda yang nak buat," ujarnya yang kini tinggal di Temerloh, Pahang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerak TikTok Malaysia 2023 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITI), Kuala Lumpur pada Ahad.

Ryan yang merupakan anak kelahiran Manjung, Perak mula terkenal selepas menghasilkan kandungan video parodi mengimbau mengenai kehidupan zaman kanak-kanak bagi generasi lahir sekitar tahun 80-an dan 90-an.

Nasihat Sofyank buat content creator baharu

Sementara itu, pereka kandungan digital, Mohamad Sofian Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sofyank berkata, penganjuran Anugerah TikTok Malaysia 2023 merupakan satu acara yang sangat mengujakan buat semua pencipta kandungan.

Katanya, ia juga dilihat sebagai satu penghargaan dan juga motivasi buat semua pencipta kandungan yang bertungkus lumus menghasilkan karya buat pengguna sosial media.

Snapinsta.app_328600212_1364244001070516_5121235297843151568_n_1080

Sofyank (kanan) ketika bekerjasama dengan Paul. — Instagram/Sofyank96

Ketika diminta untuk berkongsikan sedikit nasihat buat individu yang baru berkecimpung dalam dunia content creator, Sofyank, 27, berkata, mereka harus terlebih dahulu memberikan tumpuan terhadap kualiti karya dihasilkan.

"Jangan tengok sangat kepada view (jumlah tontonan), tengok kepada quality content korang, Sebab kalau tengok kepada view, korang akan stres, korang akan down.

"Sebab kadang-kadang view tinggi, ok korang happy, tapi bila view rendah korang akan persoalkan video kita orang dah tak tengok ke atau video kita dah tak best, sedangkan yang itu semua mainan 'algorithm'.

"Jadi yang penting jaga kualiti," ujarnya ketika ditemui Majoriti pada malam anugerah tersebut.

Sofyank yang terkenal hasil karya suntingan kesan visual (VFX) kini sudah meluaskan namannya di luar negara apabila turut bekerjasama dengan beberapa pelakon besar Hollywood seperti Ryan Reynolds, Paul Rudd, Will Smith dan John Cena. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram