Ambil masa 8 tahun bina nama, Khairul Aming risau generasi muda tidak faham realiti dunia 'content creator'


Khairul ketika menerima trofi semasa majlis Anugerah TikTok Malaysia 2023 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur pada Ahad.

PADA waktu ini, kerjaya sebagai pencipta kandungan merupakan antara pekerjaan yang menawarkan pulangan agak lumayan.

Bukan itu sahaja, menerusi profesion ini juga, ia secara langsung boleh menjadikan seseorang itu sebagai pempengaruh sosial media yang pastinya dikenali ramai.

Disebabkan itu, tidak pelik apabila ramai anak muda kini menjadikan ia sebagai satu cita-cita.

Perkembangan tersebut turut diakui oleh pempengaruh media sosial terkenal negara, Khairul Aming.

Menurutnya, ramai individu termasuk anak muda yang bertanyakan kepadanya mengenai cara untuk menjadi pencipta kandungan yang berjaya.

Malah Khairul berkata, terdapat juga ibu bapa yang meminta nasihatanya berkenaan dengan cita-cita anak mereka untuk menjadikan profesion tersebut sebagai kerjaya.

"Dia tidak salah, cuma saya risau diorang belum nampak realiti dunia content creator yang sebenar. Sebab nak bertahan dalam industri ini awak memang kena sangat kreatif dan kerja keras.

"Awak kena ada skil pembawakan diri, komunikasi dengna orang dan sebagainya. Kita tidak mahu lahirkan generasi content creator yang buat kandungan merapu-rapu sekadar nak dapat tontonan.

"Sebab benda itu bukan mendatangkan kebaikan, tapi boleh memburukkan masyarakat kita secara umumnya," ujarnya.

Screenshot 2023-08-29 210646

Khairul mula mendapat perhatian melalui kandungan resipi video masakannya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah TikTok Malaysia 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran Perdagangan Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam acara yang julung kali diadakan di dalam negara itu, Khairul berjaya merangkul anugerah utama apabila dinobatkan sebagai Creator of the Year menerusi undian peminat.

Semasa menerima trofi dimenanginya itu pada malam tersebut, Khairul sempat memberikan nasihat kepada pelapis content creator untuk menghabiskan pelajaran masing-masing

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, dia yang berusia 31 tahun itu mengakui terharu terhadap sokongan diberikan terhadapnya.

Menurut Khairul, dia sebelum ini sememangnya tidak menyangka akan wujudnya anugerah sedemikian di Malaysia yang mengiktiraf karya dihasilkan pencipta kandungan.

"Saya bermula dari buat video masak sendiri, dan lapan tahun kemudian, Alhamdulillah sampai ada rezeki untuk ada studio dan kakitangan sendiri.

"Kita juga ada dua kilang dekat Kota Bharu, Kelantan," ujarnya yang memiliki produk makanan Sambal Nyet.

Dalam pada itu, Khairul turut berharap supaya anugerah yang diwujudkan itu mampu memberi motivasi dan melahirkan lebih ramai lagi pencipta kandungan di dalam negara.

Sir Asai bantu pelajar jadi pencipta kandungan

370066622_853186549499851_2507222771040618888_n

Sir Asai ketika menerima trofi semasa majlis Anugerah TikTok Malaysia 2023 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur pada Ahad. — Facebook/TV3Malaysia

Sementara itu, pempengaruh sosial media dalam bidang pendidikan, Sir Asai mengakui bahawa kandungan dihasilkannya di sosial media sememangnya membantu secara langsung meningkatkan minat pelajar terhadap subjek yang diajar.

Malah, dia berkata, terdapat juga dalam kalangan pelajarnya yang kini turut mula membina nama sebagai pempengaruh sosial media selepas terlibat bersama-sama dalam proses penciptaan kandungan.

"Sebabnya mereka ini turut ada akaun TikTok yang kemudiannya membolehkan mereka mendapat pengikut sendiri. Jadi bila dia mereka keluar nanti, dia boleh buat TikTok Live atau meniaga di TikTok Shop.

"Ada juga seorang pelajar saya yang sekarang ini dah agak popular dan jadi salah seorang pempengaruh. Pengikut pun dah sampai 100,000. Sekarang ini pun dia tengah buat penggambaran di Perlis.

"Jadi tak semua pelajar itu akan jadi doktor ataupun peguam," ujarnya yang merupakan guru bahasa Inggeris bagi murid Tingkatan Empat dan Lima di sebuah sekolah dekat Kota Bharu, Kelantan.

Pada majlis Anugerah TikTok Malaysia 2023, Sir Asai atau nama sebenarnya Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim dinobatkan sebagai pemenang kategori Best of Education yang dipilih berdasarkan undian juri.

Sir Asai berkata, sebagai guru, dia tidak mempunyai masalah untuk membantu pelajarnya yang mahu seorang pencipta kandungan memandangkan kerjaya itu dilihat sebagai sesuatu trend yang boleh diterima ramai.

Bagaimanapun, dia senada dengan Khairul mengenai kepentingan pendidikan untuk anak muda melengkapkan diri dengan pendidikan.

"Bagi saya, lebih baik lepaskan dan dapatkan sijil SPM dahulu. Bagi yang dah masuk universiti habiskan dulu pengajian ijazah, diploma dan sebagainya. Adakan ilmu dulu.

"Sebab kadang-kadang nak jadi popular ini sekejap sahaja, saya pun tak tahu sampai bila saya macam inikan. Jadi sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dijadikan sebagai sandaran," katanya.

Pemenang lain pada malam Anugerah TikTok Malaysia 2023 ialah Ryan Bakery yang merangkul kategori (Popular Creator of the Year), Aeril Zafrel (Celebrity Creator of The Year), Tiger Labu ( Live Creator of The Year) Upin & Ipin (Popular Animation Account of The Year) dan Ikhmal Nour (Rising Star of The Year).

Sementara itu, Eiqa Maleq pula membawa pulang trofi kategori Best of Entertainment, Shahira Azlan (Best of Fashion & Beauty), Sultan Riq (Best of Gaming), Khalish Fitness (Best of Sports), Anas Zahrin (Tiktok Shop Creator of The Year) dan Syifa Jamil (Best of Foodie). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram