Identiti tarian, perarakan perbarisan perlu dikembangkan ke luar negara — Wartawan veteran


  • Massa
  • Khamis, 31 Ogos 2023

Perarakan perbarisan merupakan antara acara tumpuan menjelang sambutan kemerdekaan negara.

SAMBUTAN ambang kemerdekaan sentiasa dinanti-nantikan seluruh masyarakat Malaysia dengan ia merupakan salah satu detik bersejarah yang perlu diingati seluruh negara.

Tidak kira walau di mana jua kita berada, semangat cintakan negara perlu sentiasa tersemat dalam jiwa dengan pengorbanan wira negara satu ketika dahulu wajar dihargai selamanya.

Namun, bagi penduduk yang menetap di negara luar, sambutan itu pastinya sedikit berbeza dengan Malaysia yang mana kemeriahannya lebih terserlah menerusi perarakan tentera dan sebagainya.

Wartawan veteran negara, Zaharah Othman berkongsi pengalamannya ketika menyambut Hari Kemerdekaan di London, England.

Menurutnya, sambutan di London tidak kurang meriahnya berbanding di Malaysia kerana komuniti tempatan di sana sentiasa bersemangat untuk meraikan hari kebangsaan.

zhaha

Zaharah Othman merupakan wartawan veteran yang disegani masyarakat Malaysia. — Instagram

"Bermula 26 hingga 31 Ogos, rakyat Malaysia yang menetap di sini akan menyambut Hari Merdeka, berkumpul dan bawa makanan menu dari Malaysia untuk dinikmati bersama-sama.

"Ketika ini, berlangsungnya satu aktiviti perarakan bertemakan kain songket yang disertai ramai rakyat Malaysia berbilang kaum di sini," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, beliau turut berkongsi pendapat tentang beberapa penambahbaikan yang boleh dibawakan ke London pada sambutan kemerdekaan akan datang.

Jelasnya, elemen tradisional seperti tarian kebudayaan dan perarakan perbarisan mungkin antara yang boleh dibawakan ke London satu hari nanti.

jz

Tarian kebudayaan Melayu merupakan antara identiti negara yang perlu diketengahkan ke peringkat antarabangsa. — Facebook

"Aktiviti perbarisan dan tarian kebudayaan merupakan salah satu tarikan baharu yang boleh diperkenalkan di negara luar pada Hari Merdeka.

"Tetapi, ia memerlukan satu usaha kerjasama dan tajaan yang besar daripada semua pihak bagi menjayakan acara sebesar itu.

"Kementerian Pelancongan Malaysia khususnya perlu memainkan peranan dalam hal ini dengan ia secara tidak langsung mampu memartabatkan lagi industri pelancongan negara di mata dunia.

"Menarik untuk dilaksanakan, tapi ia juga satu tugas berat yang perlu diusahakan oleh pihak berkenaan, namun tidak mustahil untuk direalisasikan,"ujarnya.

Untuk rekod, sambutan Ambang Merdeka akan diadakan di sembilan buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Kelantan, Perlis, Perak, Kuala Terengganu, Selangor, Melaka dan Sarawak bermula pukul 8.00 malam sehingga 12.00 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Amir Hamdan, berkata orang ramai digalak menggunakan kemudahan baharu yang terdapat di stesen MRT Persiaran KLCC.

"Stesen LRT KLCC, Stesen MRT Persiaran KLCC dan lapan stesen rel yang lain akan dilanjutkan perkhidmatan hingga pukul 2 pagi Khamis ini.

"Langkah itu juga akan membantu mengurangkan kesesakan yang lazimnya berlaku di stesen LRT KLCC sejurus acara tamat," ujarnya dalam kenyataan pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram