[VIDEO] Helikopter terhempas menjunam ke bumbung rumah, 2 maut di Florida


  • Benua
  • Rabu, 30 Ogos 2023

Tangkap layar sebuah helikopter terhempas dan menjunam ke sebuah kawasan perumahan di Florida, Amerika Syarikat.

DUA individu dilaporkan maut dalam satu tragedi nahas membabitkan sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Sheriff Broward yang terhempas di sebuah kawasan perumahan dekat Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

Menurut media tempatan, sekurang-kurangnya empat lagi individu turut tercedera dalam nahas berkenaan.

Rakaman kejadian yang tular di laman media memaparkan helikopter tersebut hilang kawalan dan berpusing sebelum terhempas di sebuah rumah dekat Pompano Beach, Florida.

Seorang anggota paramedik, Kapten Terryson Jackson dan seorang wanita dipercayai orang awam yang berada di aras bawah kediaman terbabit dikenal pasti sebagai mangsa yang terkorban.

Nahas turut mengakibatkan beberapa bahagian rumah berkenaan mengalami kerosakan teruk.

Sehubungan itu, Jabatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan melakukan siasatan bersama bagi mengenal pasti punca nahas.

Beberapa laluan di kawasan kejadian ditutup dan semua penduduk diminta untuk menjauhkan diri dari tempat tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram