SETELAH dua dekad penganjuran, Putrajaya kembali lagi menjadi lokasi tumpuan bagi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Kali pertama lokasi itu menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat berhimpun untuk meraikan kemeriahan sambutan kemerdekaan adalah pada 2003.
Dalam tempoh 20 tahun itu, Putrajaya telah berjaya menganjurkan empat sambutan Hari Kebangsaan iaitu pada 2003, 2005, 2018 dan 2019, dan tahun ini merupakan edisi kelimanya.
Kemeriahan itu dijanjikan sendiri oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Beliau yang Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 berkata, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini akan gah seperti tahun-tahun sebelumnya.
Ia sudah pasti menjadi tarikh yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat.
Apatah lagi, lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir untuk memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Putrajaya.
Signifikannya tahun ini bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 itu, Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan kini ditadbir Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pastinya rakyat Malaysia sudah tidak sabar untuk menyaksikan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Untuk memudahkan urusan perjalanan anda, Majoriti senaraikan apa yang perlu anda ketahui menjelang sambutan di Putrajaya nanti :
1. Rancang perjalanan anda
Orang ramai disaran menggunakan pengangkutan awam untuk menyertai sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada Khamis ini.
Orang ramai disaran menggunakan pengangkutan awam sekiranya mahu turut serta memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada Khamis nanti bagi mengelakkan kesesakan.
Bagi mereka yang mahu menaiki bas, berita baik untuk anda kerana Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menyediakan perkhidmatan 50 bas ulang-alik (shuttle bus) Nadiputra secara percuma dari Terminal Putrajaya Sentral (TPS), Presint 7 dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 5.
Waktu operasi shuttle bus adalah seawal 4 pagi hingga 2 petang, yang diselarikan dengan waktu operasi tren MRT Laluan Putrajaya yang dijangka bermula pada pukul 4 pagi.
Kadar kekerapan adalah setiap 10 minit pada waktu puncak iaitu 4 pagi hingga 8.30 pagi dan 10.30 pagi hingga 2 petang, namun selain waktu itu, kadar kekerapan ialah setiap 20 minit.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Logistik dan Persiapan Tempat, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023, Datuk Parang Abai @ Thomas turut memaklumkan, sebanyak 2,590 tempat meletak kenderaan disediakan di tiga lokasi berhampiran lokasi kutipan penumpang bas bagi memudahkan pengunjung yang ingin menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.
Sementara itu, bagi yang berhasrat untuk membawa kenderaan masing-masing dan ingin berjalan kaki ke tempat perarakan pula, sebanyak 7,652 petak tempat letak kenderaan akan disediakan.
Namun tempat letak kenderaan adalah terhad iaitu di sekitar Masjid Tuanku Zainal Abidin; tempat letak kenderaan awam Jabatan Wilayah Persekutuan; Suasana PJH; Tugu Millenium; Myfarm di Presint 9; PICC; parkir awam sekitar Kementerian Pengangkutan; parkir awam bertingkat di TPS; parkir awam sekitar Bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Presint 1; dan parkir awam di sekitar Presint 4.
Pengunjung disaran tiba awal ke tapak sambutan kerana jalan akan ditutup seawal 6 pagi bagi memastikan kelancaran acara.
Bagi kenderaan e-hailing, mereka boleh menurunkan penumpang di sekitar kawasan Masjid Besi atau Kiblat Walk dan Jalan Tun Hussien di belakang Istana Kehakiman.
2. Persediaan sebelum keluar rumah
Persediaan yang perlu diketahui oleh pengunjung yang mahu hadir ke Putrajaya pada 31 Ogos ini. — Infografik Bernama
Orang ramai digalakkan untuk membawa bekalan makanan ringan dan minuman air sendiri.
Dari segi pemakaian pula, pengunjung dinasihatkan untuk memakai pakaian mengikut keselesaan masing-masing.
Seperti biasa, atas faktor cuaca, topi dan payung antara barang wajib yang anda perlu bawa ke sambutan kemerdekaan itu nanti.
Jaga-jaga, simpan barangan peribadi anda di tempat yang selamat. Malang tidak berbau, sedikit kelekaan anda dalam menjaga harta benda, anda mungkin menjadi mangsa penjenayah.
3. Pusat jualan makanan dan minuman disediakan
Untuk makluman, pusat jualan makanan dan minuman turut disediakan di beberapa lokasi.
Antaranya di parkir berhadapan Hotel Dorsett, Presint 3; tapak parkir berhadapan Suruhanjaya Tenaga, Presint 2; Jalan Kemerdekaan bersebelahan Menara Prisma, Presint 3 dan Jalan Lebuh Bestari, Presint 2.
Turut disediakan, 100 tandas awam dan tandas bergerak serta 15 unit khemas pasukan perubatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram