LAMBAT menekan brek dipercayai menjadi punca sebuah bas merempuh empat kenderaan di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar, Perak pada Ahad malam.
Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan luar biasa sepanjang enam kilometer.
Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) salah sebuah kenderaan yang terlibat, dan dikongsikan di media sosial.
Impak pelanggaran tersebut menyebabkan kereta yang dipandu di lorong kanan jalan itu dilihat terbabas sehingga melanggar pembahagi jalan.
Berdasarkan rakaman berdurasi 13 saat tersebut, hanya lafaz 'Allahuakbar' yang dapat didengar daripada pemandu dan penumpang kenderaan yang merakam kejadian berkenaan.
Keadaan kesemua mangsa yang terlibat dalam nahas berkenaan bagaimanapun belum dapat dipastikan setakat ini.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menyifatkan kebanyakan kenderaan berat yang lalu di kawasan itu cenderung memandu dalam keadaan laju dan berbahaya.
"Bawa bas dah macam bawa Formula 1, perlahanlah sikit, laju-laju nak pergi ke mana?" soal Addin.
"Tak pelik pun alasan ni, tapi bila kena alasan yang sama, brek rosak padahal laju bersaing dengan kereta. Bila kita hon/ beri high beam (lampu tinggi), mereka marah kita.
"Boleh tengok bas dekat mana-mana, kebanyakannya memang laju," tulis Nie Zam.
Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenytaan media yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kemalangan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram