[VIDEO] Penumpang panik, pemandu diserang sakit jantung, bas langgar 4 kereta, pejalan kaki sebelum rempuh kedai


  • Benua
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang pemandu bas diserang penyakit jantung ketika memandu dan menyebabkan pelanggaran dengan beberapa buah kenderaan lain.

SEORANG pemandu bas dilaporkan diserang sakit jantung dan hilang kawalan ketika memandu di jalan berhampiran Dikilitas, Istanbul di Turkiye.

Kejadian itu mengakibatkan bas berkenaan merempuh sebuah gerai sehingga hancur dan melanggar empat kenderaan di sepanjang laluan tersebut.

Tujuh penumpang mengalami kecederaan dalam insiden mencemaskan itu.

Kejadian yang dikongsikan di laman Twitter itu tular dalam kalangan warganet dan menerima lebih 4,000 jumlah tontonan setakat ini.

Berdasarkan video tersebut, penumpang dilihat mula ketakutan dan panik apabila bas yang dipandu hilang kawalan menyebabkan orang ramai terjatuh ketika pelanggaran berlaku.

Susulan kemalangan itu, Gabenor Yilmaz Simsek dilaporkan hadir ke wilayah berkenaan untuk membuat tinjauan dan siasatan.

Simsek berkata, pemandu bas yang hilang kawalan dipercayai berpunca daripada serangan jantung sekaligus menyebabkan kenderaan dipandu bertembung dengan kereta lain di laluan tersebut.

“Bas yang dipandu melanggar beberapa buah kenderaan serta pejalan kaki di kawasan itu dan mengakibatkan tujuh rakyat tempatan cedera.

“Mangsa yang cedera sedang dirawat di hospital kawasan sekitar dan menurut maklumat yang diterima tiada kecederaan serius berlaku.

“Pemandu yang mengalami serangan jantung juga sedang dirawat dan saya mendoakan semoga dia cepat sembuh,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram