[VIDEO] Bas ekspres rempuh treler sarat besi, pemandu parah, 15 penumpang terselamat nahas awal pagi di Ipoh


  • 112
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya membantu mengeluarkan pemandu bas yang tersepit akibat kemalangan di KM265 Lebuh Raya Utara Selamat arah selatan awal pagi tadi. - Foto Bomba Perak

KEMALANGAN yang melibatkan sebuah bas ekspres merempuh belakang sebuah lori treler di Kilometer 264 Lebuhraya Utara Selatan di Ipoh, Perak mengakibatkan seorang pemandu bas cedera parah dan 15 penumpang terselamat pada Jumaat pagi.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 2.28 pagi itu turut menyebabkan dua daripada 15 penumpang bas ekspres terbabit mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.30 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dikerah ke lokasi kejadian.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres telah melanggar belakang lori treler yang membawa muatan besi dan terdapat sebuah kereta terbabas di bahu jalan.

"Pemandu bas yang tersepit di bahagian tempat duduk hadapan telah berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua penumpang bas terbabit telah keluar dengan sendiri dan diberikan rawatan oleh pihak ambulans dan operasi ditamatkan pada pukul 4.50 pagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram