Gadis lesen 'cap ayam' langgar lampu merah, nyaris maut dirempuh bas di Kuantan


  • Tular
  • Isnin, 14 Nov 2022

Tangkap layar video wanita terbabit nyaris dirempuh sebuah bas gara-gara melanggar lampu isyarat merah di Kuantan.

TULAR seorang gadis nyaris menjadi mangsa kemalangan apabila hampir dilanggar sebuah bas gara-gara tidak mematuhi lampu isyarat merah, dalam kejadian dipercayai berlaku pada Ahad.

Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang berhenti di lampu isyarat di persimpangan terbabit.

Menerusi rakaman video tersebut, gadis itu yang menunggang motosikal dilihat memecut laju tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Seorang lagi penunggang motosikal di sebelahnya turut mahu meneruskan perjalanan tetapi membatalkan niatnya apabila melihat kehadiran bas berkenaan.

Ketika kejadian, lampu isyarat dilihat berwarna merah dan dia sepatutnya kekal di situ tetapi tindakannya memecut menyebabkan penunggang motosikal itu nyaris dilanggar sebuah bas.

Difahamkan insiden yang dirakam berdurasi lima saat tersebut berlaku di hadapan Pusat Transformasi Bandar Kuantan (UTC), Pahang.

Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai menasihati gadis itu agar sentiasa peka dan menjaga keselamatan diri semasa menunggang motosikal.

"Fuhhh! nyaris-nyaris kena rempuh dengan bas itu, selamat nyawa kau masih panjang adik," kata Wan Syakilla.

"Baru bawa motor ke? Kalau nak langgar lampu merah pun tengok kiri kanan sama, nanti tak pasal-pasal jadi perkara perkara yang tidak diingini," ujar Shafiq Megat.

"Ini mengundang namanya, betul-betul lepas dia lalu bas itu pun bergerak, boleh dah polis check ada lesen ke tidak," jelas Adham Hazim.

Melanggar lampu isyarat merah merupakan kesalahan utama yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa.

Kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh dikenakan denda kompaun sehingga RM300 di bawah Kaedah 17 dalam Kaedah-Kaedah Isyarat Lalu Lintas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram