[VIDEO] Tragedi baru keluar simpang, budak maut, 4 termasuk pemandu parah treler rempuh bas di Labis


  • 112
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Insiden kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti dan lori tangki di Jalan Sidek, Kampung Jawa, Chaah, Segamat, Johor pada Sabtu. — JBPM Labis

SEORANG kanak-kanak dilaporkan maut manakala ibunya patah kaki dalam tragedi kemalangan melibatkan sebuah bas henti-henti dan lori tangki di Jalan Sidek, Kampung Jawa, Chaah, Segamat, Johor pada Sabtu, lapor Buletin Utama.

Dalam kejadian nahas yang berlaku kira-kira pukul 7.10 pagi itu, kanak-kanak lelaki, 10, tersebut disahkan meninggal dunia ketika sedang diberikan rawatan di sebuah klinik Kementerian Kesihatan (KKM) berhampiran.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labis, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hairishah Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 7.13 pagi.

Sepasukan 14 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis dibantu BBP Yong Peng dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah bas Hino henti-henti membawa tiga penumpang yang dipercayai baharu keluar simpang berhampiran sebuah lampu isyarat dirempuh di bahagian tengah oleh sebuah lori tanker Tata dari arah Chaah ke Yong Peng, Segamat,” kata Hairishah.

Seorang penumpang wanita berusia 45 juga ibu kepada kanak-kanak yang maut, mengalami patah kaki kanan sementara seorang lagi wanita, 23 sakit di bahagian dada serta sesak nafas.

Bomba kemudian segera melakukan operasi bagi mengeluarkan mangsa yang cedera daripada dua kenderaan tersebut.

Kedua-dua pemandu lori tangki dan bas masing-masing berusia 65 dan 62 tahun mengalami kecederaan parah di kepala.

"Mangsa kanak-kanak yang berjaya dikeluarkan serta parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM tidak lama kemudian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram