[VIDEO] Tragedi berteduh di perhentian bas, lelaki maut, isteri dan anak cedera parah kena rempuh Hilux


  • 112
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Seorang lelaki maut manakala, isteri dan anaknya cedera parah dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di perhentian bas di Jalan Sebangkoi, Sarikei pada Isnin.

SEORANG lelaki maut manakala, isteri dan anaknya berumur tiga tahun cedera parah dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Hilux di perhentian bas di Kilometer 25, Jalan Sebangkoi, Sarikei, Sarawak pada Isnin.

Difahamkan, dalam kejadian 12.01 tengah hari Isnin itu, keluarga berkenaan yang menggunakan sebuah motosikal menumpang teduh di perhentian bas berkenaan sementara menunggu hujan reda.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei berkata, kenderaan itu datang dari arah Saratok menuju ke Sarikei sebelum dipercayai hilang kawalan lalu merempuh perhentian bas terbabit.

“Ketika kejadian, mangsa bersama anak dan isterinya sedang berteduh di bawah perhentian kerana hujan lebat. Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.

“Manakala pemandu 4WD seorang lelaki turut mengalami patah kaki,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pasukan penyelamat bertindak membantu menggunakan hidraulik bagi membuka pintu 4WD untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Mayat mangsa kemudian dihantar Unit Forensik Hospital Sarikei manakala tiga lagi yang cedera dihantar ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram