[VIDEO] Berani mengalahkan orang dewasa, 5 kes viral budak bawah umur selamba pandu kereta


  • Massa
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila memandu sebuah kereta sejauh 2.5 kilometer sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi, Kedah pada 9 Mei lalu.

BUDAK-BUDAK zaman sekarang semakin maju dan berani. Tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini, banyak kes melibatkan kanak-kanak bawah umur memandu kenderaan yang dilaporkan di media.

Buntu juga memikirkan di mana mereka ini mendapat keyakinan yang begitu tinggi untuk memandu kereta tanpa bantuan orang dewasa.

Yang lebih mengejutkan, kebanyakannya seolah-olah sudah mahir memegang stereng, sehingga ada yang berani membawa beberapa orang penumpang kononnya bagi tujuan 'bersiar-siar'.

Untuk tahun 2023 sahaja, sudah beberapa laporan yang dibuat atas kesalahan kanak-kanak yang memandu kenderaan tanpa lesen.

Berikut Majoriti senaraikan lima kes kanak-kanak bawah umur yang pernah menggemparkan rakyat Malaysia:

1. Medan Selera Tanjung Kling, Melaka

Sebuah keluarga yang sedang menjamu selera di Medan Selera Tanjung Kling, Melaka berdepan detik cemas selepas satu kenderaan secara tiba-tiba mengundur dan merempuh meja makan yang diduduki mereka.

Remaja lelaki tertekan pedal minyak kereta dan mengubahnya kepada gear mengundur hingga mencederakan sebuah keluarga di medan selera.

Sebuah keluarga yang sedang menjamu selera di Medan Selera Tanjung Kling, Melaka berdepan detik cemas selepas satu kenderaan secara tiba-tiba mengundur dan merempuh meja makan yang diduduki mereka.

Menerusi klip yang diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, keluarga terbabit yang terdiri daripada tujuh individu termasuk beberapa orang kanak-kanak dilihat sedang makan di meja yang terletak di baris paling luar ruang medan selera tersebut pada Sabtu.

Bagaimanapun, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza didapati secara tiba-tiba berundur melulu sehingga merempuh meja makan keluarga terbabit.

Akibat daripada perlanggaran tersebut, beberapa orang ahli keluarga terbabit dilihat terpelanting ke belakang sementara seorang daripadanya dilihat tersepit di antara meja dan kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas seorang remaja lelaki berusia 16 tahun diarahkan ibunya untuk memanaskan enjin kenderaan terbabit.

Katanya, apabila masuk ke dalam kenderaan, remaja itu bagaimanapun tertekan pedal minyak dan mengubahnya kepada gear kepada mengundur (R).

Jelas beliau, MPV itu mengundur secara mengejut dan menyebabkan berlakunya perlanggaran dengan sebuah Proton Suprima S yang diparkir di sebelahnya sebelum merempuh pelanggan di belakang.

2. Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Tindakan seorang remaja lelaki bawah umur memandu kereta tanpa lesen bersiar-siar sambil membawa ibu dan rakannya sebagai penumpang mengundang padah apabila ditahan polis.

Remaja berusia 13 tahun memandu kereta sejauh kira-kira empat kilometer di Jalan Rozhan, Machang Bubuk, Bukit Mertajam.

Tindakan seorang remaja lelaki bawah umur memandu kereta tanpa lesen bersiar-siar sambil membawa ibu dan rakannya sebagai penumpang mengundang padah apabila ditahan polis.

Kejadian di Jalan Rozhan, Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu dikesan selepas tular video berdurasi 32 saat memaparkan kejadian orang awam menahan kereta yang dipandu remaja berkenaan sekitar pukul 3 petang pada 31 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, remaja berusia 13 tahun berkenaan memandu kereta sejauh kira-kira empat kilometer sebelum gelagatnya dilihat orang awam yang melalui jalan itu.

Ekoran video tersebut, polis menjejaki suspek sebelum membuat penahanan di hadapan Flat Taman Machang Bubuk pada hari sama.

Selain remaja yang memandu kenderaan itu, polis turut menahan ibu suspek berusia lewat 40-an dan rakan suspek yang juga berusia 13 tahun yang berada dalam kereta terbabit ketika kejadian.

Polis telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan tiga saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

3. Klang, Selangor

Klang, Selangor

Seorang budak lelaki dilihat memandu sebuah Proton Saga berwarna silver dalam keadaan jalan raya yang sesak.

Seorang kanak-kanak lelaki dikesan memandu kereta dalam keadaan berbahaya di Kampung Pendamar, Klang, Selangor pada 10 Jun lalu.

Menerusi video yang tular di laman sosial, tindakan kanak-kanak itu memandu di sebuah jalan raya turut dirakam oleh orang awam dipercayai rakan kepada budak lelaki tersebut.

Dalam video berdurasi seminit 21 saat, budak lelaki itu dilihat memandu sebuah Proton Saga berwarna silver dalam keadaan jalan raya yang sesak.

Bagaimanapun pada keesokan harinya, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan perumahan di Pandamaran, Klang, Selangor dan menahan budak berusia 11 tahun termasuk bapanya berumur 49 tahun yang dipercayai pemilik kereta terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 APJ 1987 iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

4. Langkawi, Kedah

Seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila memandu sebuah kereta sejauh 2.5 kilometer sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi, Kedah pada 9 Mei lalu.

Difahamkan, pihak polis telah menerima satu panggilan telefon daripada orang awam berlaku satu kemalangan jalan raya di kawasan tersebut pada pukul 11.15 malam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pemandu tersebut mengalami kecederaan di dagu bersama seorang penumpang yang merupakan adik lelakinya yang berumur tiga tahun.

Shariman memaklumkan, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kereta yang dipandu dari rumahnya tanpa pengetahuan ibu bapa dan hilang kawalan serta terbabas masuk ke tepi jalan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi.

Malah ketika kejadian, bapa kanak-kanak tersebut sedang tidur, manakala ibunya meninggalkan mereka sebentar untuk ke bilik air.

Namun sekembalinya wanita tersebut, dia mendapati kedua-dua mereka sudah tiada dalam rumah.

Jelas Shariman lagi, kenderaan yang dibawa oleh kanak-kanak tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan termasuk bumper hadapan sebelah kiri.

Budak itu dikatakan mempelajari cara pemanduan kereta melalui saluran YouTube serta mengamati cara bapanya mengendalikan kenderaan.

5. Kemaman, Terengganu

kemaman

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun memandu kereta jenis Proton Saga dipercayai milik ibunya.

Tindakan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun memandu kereta dipercayai milik ibunya, mengundang padah apabila dia ditahan polis pada 29 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, remaja tersebut dikesan memandu kereta jenis Proton Saga secara melawan arus ketika sepasukan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat rondaan di bawah Jambatan Geliga, berhampiran Kemaman Waterfront, Kemaman, Terengganu kira-kira pukul 5.15 petang.

Difahamkan, ketika anggota polis cuba menahan kenderaannya, tiba-tiba remaja itu bertindak memecut laju untuk melarikan diri.

Menurut Hanyan, remaja tersebut turut memandu melulu dan berbahaya secara zig zag di jalan Persekutuan iaitu di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan tidak berhenti di lampu isyarat Mak Lagam, serta memotong barisan di lampu isyarat Stesen Bas Geliga.

Anggota polis telah mengarahkan supaya kenderaan itu diberhentikan sebanyak tiga kali, namun tidak dipedulikan remaja tersebut.

Katanya, peronda trafik kemudiannya mengekori kenderaan yang dipandu suspek bersama empat rakannya berusia 13 hingga 16 tahun itu sejauh 10 kilometer, sebelum menahan remaja tersebut berhampiran sebuah dobi layan diri di Taman Banggol Indah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram