[VIDEO] Berlagak dewasa pandu kereta, bapa dan anak sudah ditahan polis Klang


  • 112
  • Ahad, 11 Jun 2023

Tangkap layar seorang budak bawah umur memandu dalam keadaan berbahaya di Kampung Pendamar, Klang pada Sabtu.

DALAM tempoh kurang 24 jam, lagak seorang budak memandu sebuah kereta di Kampung Pendamar, Klang, Selangor pada Sabtu tidak bertahan lama apabila polis menahan kanak-kanak terbabit termasuk ayahnya di sebuah rumah di kawasan perumahan Pandamaran, Klang, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya mengesan kejadian tersebut menerusi klip video tular mempaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta di kawasan kediaman mereka.

Menurutnya, berdasarkan maklumat berkenaan, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan perumahan di Pandamaran, Klang, Selangor dan menahan budak berusia 11 tahun termasuk bapanya berumur 49 tahun yang dipercayai pemilik kereta terbabit.

"Kedua-dua subjek termasuk kereta terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 APJ 1987 iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak leka dan sentiasa mengawasi gerak-geri anak-anak mereka supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.

"Perbuatan menularkan sebarang konten sama-ada dalam bentuk video atau gambar-gambar secara sewenang-wenangnya adalah tidak digalakkan demi menjaga imej dan privasi orang lain, sebaliknya dinasihatkan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan," katanya.

Majoriti sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dikesan memandu kereta dalam keadaan berbahaya di Kampung Pendamar, Klang, Selangor pada Sabtu.

Menerusi video yang dimuat naik dalam aplikasi Telegram Update Info pada Sabtu, tindakan kanak-kanak itu memandu di sebuah jalan raya turut dirakam oleh orang awam yang dipercayai rakan kepada budak lelaki tersebut.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram