Tiga tahun tiada tindakan, PIBG desak KPM tukar guru besar didakwa aniaya cikgu


  • Tular
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Ibu bapa menggesa KPM menukarkan guru besar dan penolong kanan pentadbiran sekolah berkenaan dengan kadar segera.

GERAM dengan tindakan seorang guru besar yang didakwa menganiaya pelajar dan juga para guru di sebuah sekolah rendah di Damansara, Selangor, seorang wanita bertindak menularkan kelakuan cikgu tersebut.

Sumayyah Mohd Marzuki mendakwa, dia terpaksa berbuat sedemikian ekoran kerana tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkaitan walaupun aduan rasmi dibuat mengikut saluran yang betul sejak 2020 lagi.

"Apabila laporan yang dibuat melalui saluran rasmi tidak berjaya, bukan ibu bapa tak ikut saluran. Campur tangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dah banyak sangat laporan SiSPAA. Dah minta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) campur tangan tetapi masih tak berjalan.

"Cikgu-cikgu yang mana yang aktif bawa budak untuk pertandingan, dilapor seolah-olah tak penuhi KPI. Anak-anak tak digalakkan menyertai pertandingan, tak dibenarkan buat latihan, tak diberi apa-apa bantuan malah disekat jalan mereka untuk mara.

"Tetapi, ibu bapa dan anak-anak tak putus asa. Masuk juga pertandingan sampai ke peringkat akhir. Bila menang, pandai pula ambil kredit," katanya di laman Facebook peribadinya pada Jumaat.

Menurut Sumayyah lagi, kebanyakan ibu bapa menyokong dan menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh sekolah tanpa bantahan walaupun sekolah tersebut mengalami masalah dalaman.

"Sekolah ini, apa saja ibu bapa tak buat? Pokok tumbang? Bapa-bapa datang untuk selesaikan. Tandas rosak? Ibu bapa keluar duit untuk baiki. Nak mula sekolah? Parents datang cuci sekolah dengan tandas semua parents cuci supaya anak-anak selesa.

"Anak tak mahir membaca? Parents luangkan masa pagi-pagi, duduk dengan anak-anak (yang bukan anak mereka ye) untuk ajar sampai pandai," katanya.

Tambahnya lagi, guru besar sebelum ini memang sangat komited dan disayangi.

"Guru besar sebelum ini sangat baik dan disayangi. Tetapi bila guru besar baharu masuk, timbul banyak masalah sehinggakan ada pelajar yang tak mahu pergi sekolah.

"Masuk pertandingan pun tanpa sokongan. Siap kena marah lagi. Cikgu-cikgu yang disayangi, tangan macam kena ikat. Tak boleh itu, tak boleh ini. Penglibatan ibu bapa disekat dan akhirnya, laporan demi laporan dibuat melalui saluran betul.

"PPD pula? Buang kes sebab katanya laporan tak berasas. Cikgu-cikgu yang baik? Mereka didenda, turunkan KPI, ditanda dan dicari salah. Pun macam itu, parents masih guna saluran yang sepatutnya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kesal dan kecewa tiada sebarang tindakan daripada pihak berkenaan, ada segelintir ibu bapa bertindak menaikkan kain rentang di beberapa lokasi.

Menerusi kain rentang tersebut, ibu bapa menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menukarkan guru besar dan penolong kanan pentadbiran sekolah berkenaan dengan kadar segera.

Meskipun begitu, Sumayyah berpendapat menukarkan dua guru terbabit tidak akan menyelesaikan masalah..

"Kemuncaknya, ibu bapa naikkan kain rentang dekat beberapa tempat dalam kawasan ini. Terbaru, barulah PPD, JPN dan KPM katanya turun untuk berjumpa guru besar. Tapi, ibu bapa tetap tak dibenarkan beri keterangan sebelah kami pula.

"Persoalannya sekarang guru-guru bermasalah ini bukannya sikit. Tapi, bila adanya laporan, paling tidak, dipindahkan sekolah.

"Masalahnya, dia pindah sekolah, buat masalah dekat sekolah baru pula. Mana nak dapat pembaharuan sedangkan yang bermasalah masih kekal dalam sistem?

"Takkan ibu bapa hanya perlu bergantung dengan kuasa viral (tular) semata-mata baru nak ada tindakan," katanya.

Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak sekolah dan KPM. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram