Fadhlina Sidek jawab isu misi Sabah tak dapat sertai MSSM Johor


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Pemain B-18 Sabah hanya mampu menerima takdir apabila disahkan tidak dapat ke MSSM Johor. — Facebook/Naimmi Yusof

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) cakna mengenai isu yang ditularkan dalam media sosial berhubung isu penyertaan pasukan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSS) Sabah dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor pada 24 hingga 30 Ogos 2023.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

WhatsApp Image 2023-08-18 at 15.53.14

Maklum balas berhubung isu tular berkenaan pasukan bola sepak MSS Sabah dalam kejohanan MSSM.

YB Fadhlina Sidek berkata, bagi menjamin penglibatan murid yang menyeluruh termasuk dalam sukan, KPM telah menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk penganjuran sukan dan aktiviti kokurikulum di setiap peringkat.

Selain itu, peruntukan juga diberi kepada setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi memastikan aktiviti sukan dan kokurikulum dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Bagi isu yang melibatkan pasukan bola sepak MSS Sabah, KPM telah meminta JPN Sabah untuk menggunakan peruntukan sedia ada bagi menampung kos penyertaan pasukan tersebut dalam kejohanan MSSM 2023.

"Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan setiap pemimpin komuniti yang sama-sama membantu mencari jalan penyelesaian.

"KPM sentiasa berusaha untuk memastikan penglibatan menyeluruh semua murid institusi pendidikan bawah KPM dalam sukan dan kegiatan kokurikulum yang dapat menggilap bakat dan membentuk kemahiran insaniah,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai pasukan bola sepak Bawah-15 (B-15) dan Bawah-18 (B-18) tahun di Sabah tidak dapat menyertai kejohanan MSSM yang diadakan di Johor disebabkan faktor kewangan.

Berita tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Naimmi Yusof yang juga difahamkan guru bertugas untuk menguruskan pasukan bola sepak Sabah untuk ke kejohanan MSSM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram