Bina asrama berkualiti sebelum tubuh sekolah khas golongan miskin — Pakar


  • Massa
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Pelaksanaan yang bersasar perlu dilakukan terlebih dahulu oleh KPM seperti membina asrama berkualiti kepada pelajar.

HASRAT kerajaan memperkenalkan sekolah khas bagi golongan paling miskin dilihat sebagai bukti keseriusan kerajaan menoktahkan kemisikinan di negara ini dengan memastikan golongan itu tidak keciciran dalam pelajaran, kata pakar pendidikan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad bagaimanapun berpendapat pelaksanaan yang bersasar perlu dilakukan terlebih dahulu oleh Kementerian Pendidikan (KPM) seperti membina asrama berkualiti di setiap sekolah sebelum menubuhkan institusi berkenaan.

"Kita sedia maklum bahawa kemiskinan akan menyebabkan keciciran pembelajaran, kemerosotan akademik, tidak hadir ke sekolah, kurang kemudahan pembelajaran di rumah dan ia dilihat sebagai faktor utama kepada berlakunya kegagalan pendidikan.

"Sehubungan itu, cadangan kerajaan ini lebih praktikal dan berkesan sekiranya diwujudkan kemudahan asrama yang lebih baik, berkualiti, di samping mempunyai pelbagai kemudahan lain untuk menarik minat mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di pada Isnin.

Katanya langkah menempatkan pelajar berkenaan di asrama juga membantu membentuk sahsiah peribadi pelajar itu sendiri bukan sahaja menerusi pembelajaran, tetapi juga melalui komunikasi antara sesama mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama.

1398231

Dr Anuar Ahmad berpendapat pelaksanaan yang bersasar perlu dilakukan terlebih dahulu oleh KPM.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan supaya membangunkan program-program khas di sekolah di seluruh negara dengan dana tertentu bagi membantu membiayai anak-anak daripada keluarga miskin ini untuk mendapat peluang pembelajaran yang berkesan berdasarkan minat dan kecenderungan.

"Misalnya ada anak-anak miskin ini mereka minat bidang atlet sukan, bagaimana sekolah dapat membantu mereka melalui program khas dengan membimbing pelajar-pelajar miskin ini bagi mencapai kejayaan dalam bidang tersebut berbanding kita membina sekolah-sekolah khas untuk mereka.

"Ini bagi mengelakkan wujudnya sebarang persepsi dan labeling yang boleh menimbulkan kesan psikologi kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, KPM juga boleh memikirkan kaedah yang lain untuk menarik minat anak-anak golongan miskin ini kerana terdapat segelintir daripada mereka yang tidak minat belajar.

"Saya cadangkan supaya pengisian pembelajaran juga boleh ditekankan dengan aspek kemahiran seperti menjadi usahawan kepada anak-anak ini dan bukan memfokuskan kepada mata pelajaran sahaja.

303915

Aminuddin Awang mencadangkan supaya pengisian pembelajaran juga boleh ditekankan dengan aspek kemahiran.

"Selain itu, biasanya apabila kita bercakap tentang soal kemiskinan golongan yang sering menjadi tumpuan adalah mereka yang tinggal di luar bandar seperti di pedalaman sahaja.

"Bagaimanapun kita jangan lupa di bandar juga terdapat kumpulan miskin bandar dan diharapkan kerajaan juga dapat melihat kelompok ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim pada Sabtu lepas memaklumkan kerajaan berhasrat memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan dengan berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.

Ia bagi memastikan peluang pendidikan dapat dinikmati secara saksama tanpa ada mana-mana tercicir daripada pendemokrasian mutu pendidikan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram