[VIDEO] Bantai pekerja kedai kerana lewat terima pesanan, polis tahan 2 lelaki di Sentul


  • 112
  • Sabtu, 26 Ogos 2023

Tangkap layar pergaduhan membabitkan dua lelaki yang memukul pekerja kedai di Jalan Perhentian Haji Salleh, Sentul, Kuala Lumpur.

POLIS menahan dua lelaki disyaki memukul dua pekerja kedai makan kerana pesanan lambat disediakan dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Perhentian Haji Salleh, Sentul, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dalam insiden kira-kira pukul 6 pagi itu, seorang lelaki bertindak memaki hamun dan memukul pekerja berkenaan menggunakan penyapu setelah pesanannya tidak dapat disiapkan segera berikutan kedai baru dibuka.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian datang bersama seorang rakannya pada pukul 8.30 pagi dan sekali lagi memaki hamun pekerja dan merosakkan peralatan di gerai tersebut hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM12,000.

"Bertindak atas panggilan MERS 999, pihak polis telah menghantar sepasukan anggota dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) ke tempat kejadian sebelum kedua-dua suspek ditangkap di kedai bersebelahan dengan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam.

Ahmad Sukarno berkata, polis turut merampas sebatang cota dan satu topi keledar yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

Kedua-duanya akan dibawa ke mahkamah esok untuk direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 427 kanun sama kerana perbuatan khianat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram