[VIDEO] Kecoh wanita menari separuh bogel, DBKL serbu premis pakaian di Bukit Bintang


  • Tular
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Tangkap layar sekumpulan wanita berpakaian seksi sedang menari di hadapan sebuah premis pakaian dekat Bukit Bintang.

KECOH apabila sekumpulan wanita berpakaian menjolok mata dirakam menari dan bergelek di khalayak ramai dekat Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Rabu.

Menerusi rakaman tular di laman Twitter itu, wanita terbabit mempamerkan tarian 'ki dance re vhai' diiringi lagu di hadapan sebuah premis pakaian 'Buy & Save'.

Mengundang kecaman warganet, perkongsian video di laman media pada Khamis memaparkan kedai tersebut sudah diserbu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada malam Rabu.

Menjadikan pertunjukan tarian sebagai daya tarikan pengunjung, premis tersebut dipercayai telah diarahkan untuk ditutup dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Beberapa pegawai DBKL dilihat sudah menutup dan menahan pekerja di premis berkenaan dengan notis penutupan sementara juga difahamkan sudah ditampal pada pintu premis berkenaan.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak DBKL berhubung perkara tersebut.

Terdahulu, sebuah premis manisan Arab di Bukit Bintang diarahkan tutup dan dikenakan kompaun selepas didakwa beroperasi tanpa lesen sah pada Sabtu.

DBKL dalam kenyataan berkata, Jabatan Penguatkuasaan DBKL sebelum ini sudah menjalankan pemantauan di premis terbabit.

Hasil daripada pemantauan yang dijalankan mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen yang sah daripada DBKL untuk sebarang aktiviti menjaja.

Satu notis kompaun dikeluarkan mengikut UUK3 (1) UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah dari DBKL dan premis itu turut diambil tindakan tutup serta merta (SEALED) mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram