MALAYSIA dan Turkiye bakal menjalin kerjasama untuk membentuk gerakan bagi menangani isu Islamofobia (permusuhan dan benci ke atas Islam) di peringkat antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan melalui perbualan telefon bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan.
"Kita bincang mengenai Islamofobia. Erdogan dan saya bersetuju untuk mengepalai usaha ini. Erdogan kata boleh tak kita berdua bangkitkan gerakan dan buat sesuatu untuk lawan serangan terhadap Islam terutama di Amerika Syarikat serta Eropah.
"Saya kata silakan, saya setuju dan saya kata kita akan siapkan kertas (kerja) dan bincang dan dia kata dia berhajat untuk datang ke Malaysia secepat mungkin,” katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat bersama Perdana Menteri di Dataran Rakyat Guar Perahu di Permatang Pauh, Pulau Pinang, pada Sabtu.
Anwar juga berkata, Erdogan meminta beliau untuk bersama pemimpin berkenaan pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu September ini bagi mengadakan perjumpaan dan perbincangan bagi menghadapi isu Islamofobia itu.
Perdana Menteri berkata, Islamofobia merupakan sikap permusuhan terhadap Islam terutama di negara barat di mana Islam dibenci sehingga menimbulkan perbuatan seperti tindakan membakar al-Quran di Sweden.
"Pasal pembakaran al-Quran, saya kata saya keluarkan kenyataan sangat keras mengutuk pembakaran al-Quran dan saya mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh Barat," katanya.
Anwar beramah mesra bersama para hadirin di Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan MADANI di Flat Kampung Melayu Air Itam. — Bernama
Lantaran itu, menurutnya Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam.
Dalam pada itu, di hantaran Facebook, Anwar berkata, Erdogan memberikan komitmen jelas bahawa beliau akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangan untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
"Saya dan Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan.
"Kami berdua turut berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye," katanya.
Turut menyertai Perdana Menteri dalam pertemuan secara maya itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Menerusi sesi tersebut, Anwar dan Erdogan turut berbincang mengenai kerjasama pelaburan antara Malaysia dan Turkiye dengan mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta (RM1.161 bilion) di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).
Sebelum ini, Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini.
Anwar menyatakan rasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia - Turkiye.
"Justeru, saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat," ujarnya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, susulan kerjasama pelaburan di ISGIA itu, Batik Air dipilih sebagai operator untuk laluan antara Kuala Lumpur dan Istanbul, dijangka bermula Oktober ini.
Untuk rekod, nilai perdagangan Malaysia dengan Turkiye pada tahun 2022 berjumlah AS$4.62 bilion (RM21.04 bilion), sekali gus meningkat sebanyak 12.6 peratus.
Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion (RM15.17 bilion) adalah berikutan Turkiye mengimport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram