Ketahui maksud, kepentingan KDNK terhadap ekonomi negara


  • Bizz
  • Rabu, 23 Ogos 2023

BNM mengumumkan KDNK negara berkembang sebanyak tujuh peratus pada suku keempat 2022. — Gambar hiasan

SEBUT sahaja KDNK, pasti ramai yang sudah biasa dengar tentangnya, tetapi mungkin ada yang tidak tahu dan faham maksud sebenar istilah ekonomi itu.

KDNK ialah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau hasil kasar dalam negeri sesebuah negara. Ia merupakan salah satu alat untuk mengukur prestasi dan kedudukan ekonomi sesebuah negara termasuk Malaysia.

KDNK setiap suku tahun menggambarkan nilai yang dicipta oleh ekonomi Malaysia, dengan pecahan tersedia mengikut sektor ekonomi dan kategori perbelanjaan. Ia merupakan keluaran data utama yang dipantau oleh penggubal dasar, sektor swasta dan komuniti antarabangsa untuk mengukur prestasi ekonomi Malaysia.

Berdasarkan Majalah Labur, KDNK mengukur jumlah nilai akhir barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam ekonomi bagi sesebuah negara melalui tiga kaedah.

Pertama adalah melalui kaedah pengeluaran iaitu penjumlahan nilai ditambah aktiviti ekonomi seperti pertanian, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan termasuk kerajaan.

Seterusnya kaedah perbelanjaan iaitu penjumlahan perbelanjaan akhir isi rumah, perbelanjaan akhir kerajaan, pelaburan dan eksport bersih.

Sementara kaedah ketiga ialah pendapatan iaitu penjumlahan pendapatan oleh faktor pengeluaran seperti tanah, tenaga buruh, modal dan keusahawanan iaitu pampasan pekerja, lebihan kendalian kasar dan cukai–subsidi.

KDNK boleh dinilai melalui tiga pendekatan yang pada prinsipnya mendapat hasil yang sama.

Pendekatan tersebut adalah produk (atau keluaran), pendapatan (income approach) dan perbelanjaan.

Kepentingan KDNK kepada negara

DoSM mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia meningkat kepada 8.7 peratus pada tahun 2022.

KDNK juga membantu mengenal pasti dan membuat penilaian keberkesanan dasar ekonomi kerajaan dan sebagai analisis data makroekonomi.

Ia juga boleh menjadi alat perbandingan saiz ekonomi di peringkat antarabangsa dan boleh menjadi faktor penentu kepada para pelabur dalam membuat keputusan pelaburan.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang secara sederhana pada 2.9 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua berbanding 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023, didorong terutamanya oleh permintaan luaran yang lebih perlahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KDNK pada suku kedua (S2) berkembang sebanyak 2.9 peratus dan menjadikan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama 2023 kepada 4.2 peratus.

Katanya, kadar pertumbuhan pada separuh pertama tahun ini sejajar dengan unjuran kerajaan sebanyak empat hingga lima peratus untuk keseluruhan tahun 2023.

Negeri penyumbang terbesar KDNK

Permintaan domestik kekal ampuh pada S2 dengan peningkatan sebanyak 4.5 peratus, manakala jumlah perdagangan luar menguncup 11.3 peratus kepada RM643.4 bilion pada S2 2023.

Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia serta menjadi hab kepada sektor pembuatan merentasi pelbagai industri, sekali gus menjadikannya negeri yang penting dalam meneruskan momentum eksport negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini (separuh pertama 2023), Selangor mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan sebanyak 14.2 peratus kepada RM806.3 bilion berbanding RM706.02 bilion pada tahun lepas.

Semenjak 50 tahun lalu, Selangor telah membangun sebagai hab kepada sektor pembuatan merentasi pelbagai industri seperti automotif, elektrik dan elektronik, perkhidmatan logistik, industri aeroangkasa dan farmaseutikal.

Tertinggi sejak 22 tahun

KDNK merupakan salah satu alat untuk mengukur prestasi dan kedudukan ekonomi sesebuah negara termasuk Malaysia. — Gambar hiasan

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), prestasi ekonomi Malaysia meningkat kepada 8.7 peratus pada tahun 2022, berbanding 3.1 peratus pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan positif dalam semua sektor.

Pertumbuhan itu adalah pertumbuhan tahunan tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 22 tahun, iaitu yang paling tinggi dalam negara sejak 2000.

Sementara itu, BNM mengumumkan KDNK negara berkembang sebanyak tujuh peratus pada suku keempat 2022 (S4 2022) berbanding 14.2 peratus pada S3 2022 berikutan sokongan daripada langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurangan.

Bank pusat berkata, aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan pada suku keempat, disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram