Perkasa kelajuan internet di kawasan pedalaman antara isi perbincangan Anwar, Elon Musk


  • Primer
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Anwar (kanan) akan mengadakan perbincangan secara maya dengan Elon Musk (kiri) tentang pelbagai perkara, termasuk capaian internet di Malaysia.

ISU penyediaan capaian internet yang lebih meluas dan laju terutama di kawasan pedalaman adalah antara perkara yang bakal dibincangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk secara maya.

Anwar menerusi satu kenyataan berkata, penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink dilihat dapat menyumbang kepada perkara tersebut yang memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

"Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan," katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, perbincangan yang diadakan dengan CEO Tesla Inc. itu akan turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Katanya, beliau turut mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke Malaysia.

"Turut mengucap tahniah dan dokongan Kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini.

"Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050, selain mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram