KPDN ambil tindakan tegas pihak seleweng bungkusan beras putih tempatan, import


  • Primer
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati membuat kesalahan perihal satu kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] serta boleh dikenakan penalti.

TINDAKAN undang-undang boleh diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat kesalahan perihal satu kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] serta boleh dikenakan penalti.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, seseorang individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya.

"Manakala sesebuah syarikat pula boleh didenda sehingga RM50,000.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan boleh dikenakan penalti.

"Bagi individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, syarikat pula boleh didenda sehingga RM250,000," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video yang tular melibatkan dakwaan penipuan atau penyelewengan pembungkusan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).

Armizan menjelaskan, penguatkuasaan undang-undang berkaitan beras, iaitu Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] adalah di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Bagaimanapun, KPDN dan KPKM telah bekerjasama melalui pelaksanaan kolaborasi bersepadu Ops Jamin bermula 7 Julai 2023 bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara.

"Ia bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) mencukupi dengan harga yang stabil dan terkawal," katanya.

Armizan Mohd Ali mengulas mengenai video tular melibatkan dakwaan penipuan atau penyelewengan pembungkusan beras putih tempatan dan beras putih import. — Instagram/KPDN

Menurutnya, kerjasama strategik serta perkongsian informasi antara KPKM dan KPDN berupaya menjadi satu medium dalam mengukuhkan lagi jalinan kerjasama sedia ada antara kementerian serta agensi di peringkat pusat dan negeri.

Tambah beliau, ia termasuk melibatkan pemeriksaan di peringkat pengilang padi atau beras, pemborong dan peruncit sama ada di pasar raya atau kedai runcit di seluruh negara.

"Pemeriksaan ini bagi memastikan keterjaminan bekalan dan harga beras putih tempatan dan beras putih import sentiasa mencukupi dan terkawal.

"Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Ops Jamin oleh KPDN bermula 7 Julai 2023 sehingga 10 Ogos 2023, sebanyak 925 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat pengedaran termasuklah di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit, manakala sebanyak 38 aduan telah diterima dalam tempoh sama," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram