[VIDEO] Lepas tunjuk skil bola, Sanusi guna nama Abang Kumira, kongsi tip 'pro' fotografi


  • Tular
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Tangkap layar Muhammad Sanusi ketika menjadi jurugambar dalam satu majlis dipercayai anjuran PAS sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kedah satu ketika dahulu.

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi sekali lagi mengundang perhatian ramai apabila memuat naik perkongsian ilmu serta tip fotografi di laman Facebook peribadinya pada Rabu.

Beliau yang sebelum ini meraih pujian melambung susulan aksi lincah ketika bermain bola dalam perlawanan persahabatan Pilihan MB menentang Kedah Chinese FA sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) lalu, menyerlahkan satu lagi sisi berbeza sebagai jurufoto berpengalaman.

Menerusi hantaran dimuat naik, Muhammad Sanusi seperti gaya jurufoto profesional berkata, untuk merakamkan sesuatu gambar, ia perlu diseimbangkan dengan beberapa elemen.

Berkongsi videonya ketika sedang mengambil gambar dalam satu majlis dipercayai anjuran PAS sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah satu ketika dahulu, ia hangat diperkatakan warganet.

KEKEN

Muhammad Sanusi ketika beraksi dalam persahabatan Pilihan MB menentang Kedah Chinese FA sempena PRN15.

"Ketika kita merakam foto, kita perlu seimbangkan beberapa elemen untuk menghasilkan foto yang menarik. ‘Aperture, shutterspeed, ISO dan composition’.

"'Aperture', tahan bukaan pada lensa. Ada keadaan yang tak boleh buka luas. 'Shutterspeed', kelajuan shutter.

"ISO, tahap kepekaan sensor terhadap cahaya. ISO tinggi mungkin dapat gambar lebih cerah, tetapi kadang-kadang banyak pula noise (gangguan).

"'Composition', bagaimana kita mengatur subjek, latar belakang, latar depan dan lain-lain, kita nak subjek 'background' dia macam mana kita ubahlah sudut," katanya pada Rabu.

Tambahnya, hasil gambar yang diambil ditentukan melalui gaya serta sikap seseorang jurufoto itu.

"Semua ini kita atur supaya gambar jadi menarik, bukan 'reda apa yang ada'.

"Itu akan membezakan antara seorang jurufoto dan pemilik kamera. Kita yang kawal peralatan kita, bukan sebaliknya,” katanya dengan mengakhiri posting berkenaan menggunakan nama Abang Kumira. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram