SEORANG wanita dipercayai orang kurang upaya (OKU) maut digilis sebuah lori di sebuah jalan raya berhampiran Pasar Raya Mega, Tangkak, Johor pada Khamis.
Ketika kejadian, individu OKU terbabit terlebih dahulu dilihat menunggang basikal di kawasan berkenaan sebelum berhenti di depan lori terbabit.
Dipercayai ingin singgah ke pasar raya berkenaan, wanita tersebut berhenti di kawasan titik buta lori itu yang sekali gus berkemungkinan menyebabkan pandangan si pemandu terhalang.
Tidak menyedari kewujudan wanita tersebut, si pemandu kemudiannya terus bergerak dari lokasi itu yang sekali gus menyaksikan individu itu digilis hingga terperosok ke bawah kenderaan berat berkenaan.
Insiden yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu tular di laman media dan meraih lebih 10,000 jumlah tontonan.
Difahamkan, wanita OKU itu meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke hospital untuk urusan selanjutnya.
Meskipun kemalangan itu berpunca akibat kecuaian si pemandu, namun di ruangan komen, rata-rata warganet berpendapat bahawa kawasan titik buta kenderaan sememangnya berbahaya dan mungkin menjadi punca kejadian berkenaan.
"Tak salahkan pemandu lori, kawasan titik buta memang bahaya dan boleh menyebabkan kematian," kata Linda Lina.
"Titik buta lori tak nampak wanita itu di depan, memang dah ajal dan ALLAH dah tetapkan dia nak berhenti di kawasan itu, jangan la salahkan pemandu lori itu," ujar Nor Azirah.
"Dia berhenti betu-betul depan lori itu, sedang elok pemandu nak jalan dia tunduk pula memang tak akan perasan kelibat mangsa di situ," jelas Khairul Amri.
"Kasihan mangsa adalah wanita kurang upaya, semoga jadi pengajaran untuk semua jangan berhenti di kawasan titik buta," tambah Faizal Amri.
Dalam pada itu, belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian berkenaan setakat ini dengan orang ramai diminta ntuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram