'Hasil negara dari semua rakyat dan negeri', MB Terengganu ajar Rafizi Ramli ilmu asas Tingkatan 6


  • Primer
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Ahmad Samsuri (kanan) menjawab dakwaan Rafizi Ramli (kiri) yang menyifatkan beberapa negeri tidak mempunyai perancangan ekonomi baik termasuk Terengganu.

KENYATAAN Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyifatkan beberapa negeri tidak mempunyai perancangan ekonomi baik membangkitkan ketidakpuasan hati segelintir pihak.

Ia termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang tampil memberi respon berhubung kenyataan tersebut.

Ahmad Samsuri menjelaskan, semua bidang kuasa kerja kerajaan termaktub dalam Perlembagaan dalam Jadual Kesembilan Senarai Perundangan, dengan tiga kaedah pembahagian kuasa.

Malah, Ahmad Samsuri dengan nada sinis menganggap perkara itu merupakan salah satu bab yang terkandung dalam subjek Pengetahuan Am di Tingkatan Enam.

"Tak perlu mengaji di Amerika (Syarikat) atau Perancis untuk tahu perkara ini. Semua yang ada dalam senarai projek pembangunan di semua negeri, adalah melalui proses bincang dan penilaian puluhan pakar, agensi dan kementerian sebelum menjadi senarai dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang sedia ada kini.

"Bila kata bincang, bermakna kementerian termasuk Kementerian Ekonomi telah berbincang sebelum ini dengan semua kerajaan negeri.

"Bukan bincang tepi jalan. Itu tanggungjawab bersama dan bukan negeri seorang diri. (Tetapi) kenapa negeri yang nak diperlekehkan? Politik lah tu.

"Saya tidak ingin menyebut angka-angka, atau peratusan nombor semua perkara ini, kerana menteri sepatutnya membaca angka-angka ini dan melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata, kerajaan akan menambah baik agihan peruntukan kepada negeri, dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan ia lebih adil, terutama untuk negeri yang tidak mendapat peruntukan tinggi sebelum ini.

Ujarnya, terdapat enam negeri diberikan keutamaan pada setiap kali belanjawan, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang mendapat lebih 50 peratus daripada peruntukan pembangunan.

"Sarawak memang mendapat peruntukan tinggi tetapi ia turut disertai dengan perancangan ekonomi yang baik pada peringkat negeri, jadi pertumbuhan ekonominya adalah baik.

"Bagaimanapun, kita tidak mendapat perkara sama di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis contohnya. Jadi, ia hanya satu hala yang mana tiap-tiap tahun, (meminta) tolong beri peruntukan yang lebih, sedangkan mereka memang sudah dapat (peruntukan) antara yang paling tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri turut menyifatkan Rafizi tidak mampu untuk mengasingkan perihal politik dengan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Tambahnya lagi, isu yang dibangkitkan oleh Menteri Ekonomi itu adalah umpama 'mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri'.

"Semua kena ingat, hasil yang diperoleh dan dikumpulkan oleh negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua negeri.

"Setiap rakyat ada bayar cukai, tak kira apa nama atau jenis cukainya.

"Hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan.

"Maka semua negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari negeri-negeri ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram